Laman Utama
Pertahankan Kelantangan, Hattan: "Saya Rasa Sakit Jiwa Bila..."
Penyanyi legenda, Datuk Hattan mempertahankan sikapnya yang disifatkan sebagai lantang kerana sering membidas dan menegur segelintir pihak di laman sosial sebagai teguran yang berasaskan fakta.
Itu termasuklah kelantangannya bersuara mengenai individu yang mengingkari arahan tidak merentas negeri yang hangat diperkatakan baru baru ini.
“Saya tegur berdasarkan fakta. Macam saya tegur tentang rentas negeri minggu lalu.
“Saya tidak tujukan kepada satu individu saja tapi secara menyeluruh. Teguran itu dibuat sebab membabitkan banyak pihak dan saya fikir kalau tidak bersuara siapa yang akan bersuara?” kata Hattan.
Hattan ditemui ketika majlis pelancaran pelantikannya sebagai duta produk minuman jenama Stobu di Out of Afrika Restaurant & Bar di Petaling Jaya petang tadi.
Pelaku seni berusia 57 tahun itu menegaskan dirinya bukan beri teguran secara membabi buta.
“Bila saya rasa fakta itu betul, saya akan kongsi dan ia hanya pendapat peribadi,” katanya lagi.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Gadis Jolobu itu sebelum ini mempersoalkan tindakan individu yang seronok memuat naik aktiviti mereka di media sosial sekali gus mengundang kemarahan netizen.
Sebelumnya, Hattan juga lantang bercakap mengenai sensasi dalam industri muzik tempatan.
“Contoh fasal muzik, kalau ada yang tak kena, saya akan tegur dan ia adalah pendapat peribadi saya. Jadi, kalau nak dengar, dengar la. Saya rasa sakit jiwa bila tak ada orang tegur.
“Sesama artis ini asyik memuji sahaja tapi padahal belakang, kutuk lain. Tapi macam saya bukan kutuk, saya hanya beri semangat. Mereka sepatutnya ambil teguran secara positif, anggap ia pembakar semangat untuk masa depan.
“Takkan nak puji sahaja... bila tak puji, jadi menyampah pula. Saya dan rakan senior industri terutama sifu saya iaitu M Nasir selalu berbincang mengenai industri seni. Kalau ada nampak kelemahan, kena la tegur,” ujarnya.
Saat ditanya bagaimana jika sikap lantangnya itu dibenci, Hattan mengaku tidak peduli. Beliau mengatakan tidak kisah jika dibenci namun menegur atas sikap tanggungjawab.
"Lantaklah, saya tak kisah sebab ini tanggungjawab saya menegur benda yang orang tak nak tegur," katanya.
Must-Watch Video