#PopcornTime : Lakonan Hebat Namron & Amerul Affendi! Filem Mencari Rahmat, Sekadar Hype Atau….
Filem diterbitkan AB Roll Sdn Bhd dan diarahkan Al Jafree Md Yusop ini diadaptasi daripada cerita asal The Importance of being Earnest by Oscar Wilde.
Sebagai adaptasi, filem Mencari Rahmat tampil dalam genre komedi romantik dan dikatakan penuh sarkastik dan kritikan sosial.
Malah, skrip filem ini dikatakan mengambil masa selama lebih 10 tahun untuk disiapkan. Hebat bukan?
Persoalannya, adakah filem ini benar-benar bagus seperti digembar-gemburkan?
Gempak berkesempatan untuk menonton filem Mencari Rahmat dan ini ulasannya.
Permulaan Agak Perlahan, Sehinggalah…
Secara dasarnya filem Mencari Rahmat berkisarkan tentang Razak (Namron), seorang ahli perniagaan berjaya yang menetap di Pulau Pinang.
Razak kemudian 'mencipta' satu watak bernama Rahmat yang kononnya banyak masalah dan menetap di Kuala Lumpur.
Konflik mula tercetus apabila watak itu telah menawan hati seorang wanita bernama Ros dilakonkan oleh Nadia Aqilah.
Secara jujurnya, permulaan filem ini agak berat untuk ‘dihadam’ kerana babak antara Razak dan Azman (Amerul Affendi) boleh dikatakan agak ‘draggy’.
Topik perbincangan dua watak ini juga adakalanya bakal menyebabkan penonton ‘marhaen’ terpinga-pinga.
Malah, penulis sendiri agak skeptikal pada ‘1st act’ filem ini yang boleh disifatkan agak perlahan jalan ceritanya.
Namun, anggaplah ia hanya illusi atau mukadimah pada 20 minit terawal sahaja kerana keseronokan filem ini bermula sejurus selepas itu.
Apabila muncul beberapa lagi watak iaitu Ros dan ibunya, maka storyline menjadi semakin menarik.
Lawak Sarkastik
Lawak dan jenaka filem ini juga boleh diterima dan adakalanya membuat penulis teruja apa lagi yang bakal ‘dihidangkan’.
Konflik hubungan cinta yang tidak direstui serta pergelutan dalaman yang keliru dengan identiti sebenar menjadi kekuatan filem ini untuk menarik penonton untuk terus menonton.
Malah, keterujaan itu juga berterusan hingga ke pengakhiran filem ini yang dirasakan agak puas.
Biarpun ending agak sediki klishe, mungkin penulis sudah boleh agak apa yang berlaku, namun garapannya boleh dikatakan sangat cantik dan tersusun.
Hebatnya Namron & Amerul
Pujian harus diberi kepada pengarah kerana menghasilkan banyak ‘shot’ cantik terutamanya gaya penggunaan ‘one take’.
Gaya sebegitu sebenarnya menjadi filem ini lebih menarik daripada segi aspek teknikal.
Mutu lakonan juga sangat ‘on point’ dan penulis tidak dapat bayangkan sekiranya filem ini dihasilkan tanpa Namron dan Amerul. Keserasian mereka unbelievable!
Begitu juga pelakon lain seperti Sharifah Amani, Nadia Aqilah dan Adibah Noor.
Namun, fokus penulis lebih tertumpu kepada watak Adibah Noor yang sangat menyakinkan.
Kekurangan utama filem ini berkemungkinan pada permulaannya saja.
Untuk skrip pula, ia mungkin agak janggal bagi sesetengah penonton kerana menggunakan gaya ala teater. Yup anda akan rasa seperti menonton teater di layar perak.
Apapun, bahasa kan cermin budaya bangsa. Sesekali melihat gaya seperti ini, menarik juga!
Rating Gempak : 7.5/10