Laman Utama

#PopcornTime: Poster Memang Mengecewakan, Tapi Filem Ada Hantu Surprisingly…

gempak
Hanafis Haris
19/08/2021
12:02 MYT
Sponsor Banner
#PopcornTime: Poster Memang Mengecewakan, Tapi Filem Ada Hantu Surprisingly…

Filem Ada Hantu ini sebenarnya telah mula menjadi perhatian ramai sejak beberapa bulan lalu lagi.

Semuanya gara-gara rekaan poster yang dikatakan agak buruk dan agak ketinggalan zaman.

Mana tidaknya, ramai mengatakan poster Ada Hantu saling tak tumpah dengan zaman lambakan VCD atau DVD lewat 90-an dahulu.

Hakikat yang terpaksa ditelan pengarahnya, Hairul Azreen. Namun, siapa tahu Hairul ada alasannya tersendiri.

Ok kita ketepikan sejenak tentang isu poster, bagaimana pula ‘isi’ di dalamnya? Adakah filem teruk memandangkan ia percubaan pertama Hairul Azreen mengarah?

Gempak sempat menyaksikan filem Ada Hantu pada Selasa lalu dan ini antara ulasannya!

Secara jujurnya jalan cerita filem Ada Hantu sebenarnya boleh dikatakan agak cliche dan biasa-biasa saja.

Filem ini mengisahkan sekumpulan anak muda datang ke sebuah rumah lama yang dikatakan berhantu.

Mereka kemudian membuat keputusan untuk tidur di rumah tersebut sambil melakukan rakaman video untuk dimuat naik di saluran YouTube.

Kedengaran seperti agak biasa bukan? Yup, tidak dinafikan jalan cerita agak biasa namun garapan menghasilkan filem bukanlah sambil lewa, malah boleh dibanggakan apatah lagi ia percubaan pertama pelakon PASKAL The Movie ini.

Secara ringkasnya, filem ini berjaya mengangkat genre komedi dan seram dengan cukup seimbang.

Untuk permulaan filem ini, penonton akan ‘dijamu’ dengan lawak komedi yang cukup bersahaja sekali gus mencetuskan rasa teruja.

Masih terngiang di fikiran penulis babak seorang wartawan menemu ramah hantu pocong. Mungkin sebab penulis juga wartawan dan lawak itu sangat ‘relatable’.

Namun sejurus selepas itu, penonton terus dibawa kepada pengenalan beberapa watak penting yang merancang untuk membongkar rahsia rumah lama di sebuah kampung.

Ketika ini, ‘pacing’ boleh dikatakan agak lambat sedikit, namun bagi penulis ia sesuatu yang normal. Fasa di mana pengarah mahu memberi ‘mukadimah’ sebelum beralih kepada babak lebih penting dan seram.

Persoalannya seramkah? Bagi penulis, Hairul Azreen pandai mengadunkan penggunaan sinematografi, permainan warna dan bantuan bunyi seram untuk membangkitkan mood berkenaan.

Ada beberapa babak yang penulis rasa agak seram sebenarnya terutama ketika babak tepuk tangan dan ketika di bilik tidur.

Selain itu, penulis juga merasakan skrip tentang pantang larang hantu daripada beberapa kaum di Malaysia dalam filem ini cukup menarik.

Contohnya bagi kaum Cina, jika anda memakai seluar dalam atau pakaian berwarna merah, anda akan diburu hantu!

Nampak remeh tapi ia menjadi elemen utama dan logik kenapa watak itu diganggu.

Begitu juga pantang larang kaum Melayu dan India yang mungkin tidak diketahui generasi sekarang.

Berbalik pada kekuatan filem ini, selain elemen komedi dan seram yang seimbang, Ada Hantu juga banyak menggunakan elemen plot twist yang kita tidak jangka.

Pengarah menggunakan sebaiknya plot twist ini untuk membongkar satu persatu babak yang terjadi sambil menambah elemen komedi secara selingan.

Percaturan yang agak bijak sebenarnya kerana jalan cerita boleh dikembangkan lagi!

Menyentuh soal pelakon, penulis tiada masalah dengan kesemua watak, cuma pada permulaan saja seperti ‘chemistry’ itu kurang.

Masing-masing juga memainkan watak dengan baik dan tidak ada istilah ‘overshadow’ di sini biarpun pengarahnya, Hairul Azreen turut sama berlakon.

Malah, pujian harus diberi kepada Zahiril Adzim kerana membawa wataknya dengan cukup baik. Zahiril seolah-seolah menjadi diri sendiri dalam filem ini, smooth!

Apapun, filem ini bagus dari segi penggunaan skrip, sinematografi, elemen komedi dan seram yang seimbang serta padat elemen plot twist.

Kekurangan pula, penulis merasakan jalan ceritanya agak cliche dan mengingatkan pada beberapa filem yang lain.

Apapun Ada Hantu membuktikan ‘don't judge a book by its cover’. Filem ini tidak teruk, namun pada masa sama tidaklah terlalu bagus.

Permulaan yang bagus untuk Hairul Azreen sebagai pelakon dan filem ini sangat sesuai ditonton ketika ini kerana pastinya ramai mahukan filem yang ringan dan boleh membuatkan mereka ketawa.

Anda boleh tonton filem ini di Disney Plus Hotstar!

Rating Gempak: 7.5/10

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live