Untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menjadi individu pertama menerima suntikan hari ini.

Malah majlis "Suntikan Perdana" di Istana Presiden di Bogor itu, disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden.

Jokowi diberikan suntikan vaksin Sinovac pada 9.40 pagi waktu Indonesia barat, sebelum diikuti beberapa menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

Proses vaksinasi itu akan diteruskan ke provinsi-provinsi lain secara serentak mulai esok, dengan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan, pemimpin setempat dan seterusnya, rakyat Indonesia.


Pada 11 Januari lalu, Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dari China bagi membolehkan proses suntikan vaksin di republik itu, bermula hari ini.

Pada 16 Disember, Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 itu akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan dengan menyasarkan suntikan kepada 182 juta penduduk daripada jumlah penduduk Indonesia yang hampir 290 juta.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 6 Disember lalu, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lalu, manakala 15 juta lagi vaksin diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.

Sumber: BERNAMA