Punca kematian pelajar madrasah tahfiz Al-Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru terjawab.

Hasil bedah siasat kematian Thaqif berpunca daripada penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kencing tikus (Leptospirosis).

" Ia dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi," katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kesihatan merujuk laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Proses bedah siasat itu dilakukan pada 6 petang hari yang sama kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Beberapa sampel tisu dan darah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.

"Susulan daripada kejadian itu juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kes ini," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu membabitkan Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata berdasarkan laporan perubatan itu, pihaknya akan mengemaskini kertas siasatan.

"Polis juga akan mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.


Sebelum ini, pembantu warden madrasah tahfiz yang didakwa mendera murid itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Dia ditahan pada 22 April lalu berhubung siasatan terhadap dakwaan mendera Mohamad Thaqif mengikut Seksyen 31(1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro