Pelakon Puteri Sarah mendedahkan dia pernah melalui episod duka selepas mengalami keguguran disebabkan kandungan berada di luar rahim.

Menurut Puteri Sarah, 34, dia terpaksa menjalani pembedahan ketika itu bagi menyelamatkan nyawanya daripada terkorban.

"Menyayat hati. Satu benda yang harus diketahui. Sarah pernah keguguran dulu sebelum mengandungkan anak pertama Syaikhul, masa itu tahun 2014.

"Ectopic pregnancy (kehamilan luar rahim), lagi menakutkan..sakit perut teruk nak pengsan dan nasib baik masa itu cepat pergi hospital.

"Apabila kena Ectopic pregnancy tak bedah cepat-cepat ibu boleh meninggal ya," tulisnya menerusi Instagram Stories pada Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian tersebut, Puteri Sarah turut memuat naik posting isteri penyanyi John Legend, Chrissy Teigen yang baru sahaja mengalami keguguran, baru-baru ini.



Tambah pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ini, kejadian tersebut terjadi pada awal perkahwinannya bersama pelakon dan pengarah Syamsul Yusof.

"Dah la masa tu baru empat bulan berkahwin, masa kena itu banyak pendarahan dalaman.

"Kalau tak cepat-cepat, dah meninggal kut. Allah masih bagi peluang untuk hidup dan lahirkan Shaikhul dan Sumayyah, bersyukur masih hidup!" tulisnya lagi.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, 1.