HIBURAN
Ramli Sarip Sifatkan Puisi Ku Cari Damai Abadi Nukilan Allahyarham Tun Abdullah Badawi Punya Makna Mendalam, Sangat Ikhlas
Datuk Ramli Sarip yang melagukan puisi nukilan Allahyarham Tun Haji Abdullah Badawi yang meninggal dunia pada 14 April 2025, Ku Cari Damai Abadi sebagai sebuah tulisan yang sangat ikhlas dan mempunyai makna cukup mendalam.
BERITA TRENDING: Hadir Dengan Pakai Selendang, Michelle Yeoh Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi
Penyanyi legenda itu juga menyifatkan Ku Cari Damai Abadi yang dinukilkan pada tahun 2004 sebagai satu cerminan hati allahyarham yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima dari tahun 2003 sehingga 2009.Kerana tertarik dengan bait-bait tulisan yang ikhlas tersebut, Ramli memutuskan untuk merakamkan Ku Cari Damai Abadi lalu dimuatkan dalam album kerohaniannya, Sadaqa yang diterbitkan pada tahun 2012.
“Saya rakam Ku Cari Damai Abadi selepas Allahyarham Tun Abdullah Badawi dilagukan dalam sebuah rancangan stesen televisyen RTM.
“Selepas mendengarnya saya rasa ingin mencipta lagu mengikut feel yang didapatkan daripada nukilan allahyarham. Saya muatkan lagu Ku Cari Damai Abadi dalam album kerohanian saya, Sadaqa yang diterbitkan pada tahun 2012,” ujar Ramli kepada Gempak.
BERITA TRENDING: Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Ini 7 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Pak Lah
Menerusi temubual yang dilakukan lewat WhatsApp, Ramli melahirkan kekagumannya terhadap bait puisi yang ditulis allahyarham.“Puisi yang ditulis allahyarham mempunyai makna yang sangat dalam di jiwa dan rohani. Ia (Ku Cari Damai Abadi) mencerminkan isi hati beliau.
“Nukilan ini sangat ikhlas dan tidak banyak kiasan yang mengelirukan. Jadi apa yang tersirat di hati mudah difahami,” ulas Ramli lagi.
Beliau juga mengakui menerima banyak undangan nyanyian kerana melagukan puisi tersebut sewaktu allahyarham menerajui negara.
Terdahulu lagu Ku Cari Damai Abadi yang didendangkan oleh penyanyi kelahiran Singapura itu menjadi tular di media sosial. Bait nukilan yang ditulis allahyarham disifatkan sangat menyentuh jiwa oleh pengguna media sosial.
Must-Watch Video