Laman Utama
Rentas Negeri Beli Karpet Di Nilai 3, Kertas Siasatan Neelofa Dirujuk Ke Pejabat Peguam Negara
Didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana merentas negeri, kertas siasatan membabitkan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, di Putrajaya, semalam (Selasa).
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis memperkemas dan melengkapkan siasatan kes membabitkan pasangan berkenaan yang didakwa merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, di sini, pada 2 Mei lalu.
"Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini (Selasa)," katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, Mohd Fazley berkata, siasatan dijalankan berhubung isu gambar dan video membabitkan Neelofa dan Muhammad Haris atau PU Riz kerana melanggar SOP ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3.
Mohd Fazley berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, polis turut mengambil keterangan pemilik premis dan pembantu kedai permaidani berkenaan.
Neelofa didakwa membelanjakan RM10,000 ketika mengunjungi premis menjual permaidani dikenali sebagai ‘Naeem Carpet’ yang mempunyai lebih kurang lima buah cawangan di sekitar Nilai 3.Sumber: BH Online
Must-Watch Video