Pelakon senior berbakat, Fatimah Abu Bakar sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan untuk mencegah jangkitan wabak COVID-19.

Menurut Fatimah, dia mula melakukan langkah-langkah pencegahan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sehingga kini.

"Saya memang sentiasa menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan dan keselamatan ketika pandemik ini, memang saya sudah mula lakukan sejak pelaksanaan PKP tahun lalu lagi.

"Kalau pergi ke rumah saya, anda boleh tengok berapa banyak botol produk nyah kuman yang saya gunakan.

"Salah satu cara saya berusaha mencegah jangkitan, orang yang masuk ke rumah akan disembur dengan semburan nyah kuman terlebih dahulu, kemudian barulah boleh masuk," katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam perkembangan lain, Fatimah kini membintangi filem terbaru arahan Kabir Bhatia, Kerana Korona.

Difahamkan, watak yang dipegang Fatimah itu mempunyai sedikit kesinambungan dengan rutin kebersihannya mencegah COVID-19.

"Dalam filem ini, saya jadi seorang wanita yang takut dengan jangkitan COVID-19 dan sangat menjaga kebersihan dan langkah pencegahan.

"Adalah sedikit persamaan dengan diri saya di luar, cuma saya tidaklah begitu obses mengamalkan langkah-langkah pencegahan itu," katanya lagi.

Kerana Korona mengisahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian, ia membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.

Selain Fatimah, Kerana Korona turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan dan ramai lagi.

Ia sudah menjengah pawagam rumah anda menerusi Astro First (saluran 480) mulai 21 Januari lalu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!