Penyanyi dan pelakon Azza Elite atau Nor Azzarima Zawari bersetuju dengan aktres Lisdawati yang menyeru blog, portal hiburan dan peminat agar tidak lagi berkongsi foto lamanya pada platform masing-masing.

Azza ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata, foto selebriti yang sudah bertudung tidak wajar dikeluarkan semula.

“Ye lah, sebab masing-masing pun sudah berhijrah dan sedang memperbaiki diri ke arah yang lebih baik jadi peminat atau sesiapa sahaja di luar sana seharusnya faham.

“Sebagai manusia biasa kami tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, mengikut nafsu darah muda namun, apa salahnya kita menjaga sesama sendiri.

“Tapi untuk memberi kesedaran itu, kita sendiri tak perlulah kongsi lagi gambar-gambar lama kita yang tidak menutup aurat atau kurang manis dipandang,” katanya.

Mengimbas kembali saat dirinya mula-mula melakukan penghijrahan beberapa tahun dahulu, Azza berkata banyak dugaan dilalui.

“Apabila kita mahu beristiqamah pasti ia disertai dengan ujian. Contohnya keinginan nak buka tudung sebab nak pakai balik baju dulu-dulu.

“Kita tak sedar tapi, itulah ujian daripada Allah SWT…Dia tak uji kita kalau kita tak mampu. Saat diri diuji, kita sendiri kena ingatkan diri kita balik adakah Allah suka kalau kita ikut hawa nafsu tadi?

“Dalam tempoh penghijrahan inilah tempoh kita perbaiki apa yang telah kita tinggalkan. Saya mahu pergi dalam keadaan husnul khatimah atau su’ul khatimah, jadi kita ‘delete’ apa yang Allah tak suka,” katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain Azza kini sibuk dengan perniagaan pakaian muslim dan muslimah patuh syariah secara online.

“Sebelum ini pun memang dan ada Kaftan Azza , jubah, baju kurung Azza, Tudung Bidadari Syariah Compliance, dan Kurta Azlan.

“Cuma pada Ramadan ini permintaan lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Saya pun tak sangka ada VVIP sedar tentang kewujudan perniagaan saya ini.

“Tambah-tambah lagi dalam keadaan sekarang, Alhamdulillah, rezeki daripada Allah SWT, syukur sangat-sangat,” ujarnya.