Pelakon Lisdawati berkongsi berita sedih apabila kereta yang dipandunya dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang individu berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di Cheras, Kuala Lumpur pagi semalam.

Begitupun, menurut Lisdawati, apa yang lebih membuatkan dia terkilan adalah sikap penunggang tersebut yang seolah-olah tidak ada rasa bersalah langsung apabila tiada kata maaf yang keluar daripada mulutnya.

"Saya tak tahu nak berdepan (situasi ini) macam mana. Ini kerana, ternyata dia yang salah, tetapi salah yang mungkin tidak disengajakan.

"Saya tidak tahu nak kasihankan diri saya atau dia, tetapi sesuatu yang agak mengecewakan, apabila saya minta bantuan dia naikkan balik bumper kereta saya disebabkan terjatuh, saya mengharapkan perkataan maaf, tapi tak ada..sehinggalah dia berlalu pergi," katanya.

Aktres filem KL Menjerit itu berkongsi hal tersebut menerusi satu entri video yang dimuat naik di Instagram semalam.

A post shared by Lisdawati (@lisdawati15) on


Menurut Lisdawati lagi, dia kemudian dibantu seorang anggota polis trafik yang berada di lokasi kejadian.

Perkongsian isteri kepada aktor Fauzi Nawawi itu turut mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikut di Instagram.

Rata-rata meminta aktres tersebut banyakkan bersabar kerana terpaksa berdepan dengan situasi itu.

"Polis ada tadi pun boleh tahu siapa salah. Saya anggap je ujian saya. Disebabkan kasihan, saya telan sendiri sahaja," jelas aktres yang bakal muncul dalam filem biopik, Mahathir:The Journey itu.