Hiburan

Sebar Berita Palsu Koronavirus, Zed Zaidi Dipanggil Beri Keterangan

gempak
Asraf Aided
01/02/2020
03:22 MYT
Sponsor Banner
Sebar Berita Palsu Koronavirus, Zed Zaidi Dipanggil Beri Keterangan
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil hadir memberi keterangan lebih dua jam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakannya berkongsi berita palsu tentang jangkitan 2019 novel koronavirus, lapor AWANI.
Pelakon yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi ini tiba di Menara SKMM semalam bersama peguamnya Zamri Idrus pada jam 3.30 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira 5.45 petang.
Zed Zaidi yang ditemui memaklumkan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes itu.
"Untuk yang di luar sana berhati-hati bila post (membuat hantaran di media sosial)," katanya ringkas.
Sementara Zamri berkata anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi gambar berita palsu di laman Twitter kononnya semua negara telah menyekat kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.
Dalam pada itu, Zamri turut memberitahu kad sim Zed Zaidi turut diambil dan direkodkan oleh SKMM.
"Kami dimaklumkan tadi oleh pihak SKMM, sekiranya ada keperluan untuk mereka mendapatkan butiran lanjut daripada Zed, mereka akan panggil semula, itu sahaja," katanya.
Ditanya sama ada Zed sememangnya berniat untuk menyebarkan berita tidak sahih atau menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, Zamri berkata perkara yang ditulis di laman Twitter itu hanyalah satu persoalan peribadi.
"Tidak sama sekali, itu memang disahkan oleh Zed sendiri. Tidak ada niat apa pun," katanya.
Selain Zed Zaidi, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini turut merekodkan keterangan pemilik laman sesawang "Oh My Media" Mohd Khairul Anuar Rosli, 30, dan seorang lagi orang awam kerana berkongsi berita palsu mengenai kedatangan ratusan pelancong China di Pulau Langkawi, Kedah yang didakwa lari daripada wabak koronavirus di negara itu.
Sumber : AWANI/BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024