Pelakon Tasha Shilla akui sedang mengenali seseorang jejaka sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, Tasha masih belum bersedia mendedahkan siapa individu tersebut kepada umum.

"Ya, saya sedang berjumpa dan mengenali seseorang, tapi buat masa ini saya tidak mahu mendedahkan tentang perkara ini kepada umum lagi.

"Memang kami selalu berjumpa, tapi kalau soal jodoh tu, kalau ditakdirkan ada ijab dan kabulnya di antara kami, maka ada lah nanti,"
ujar Tasha kepada Gempak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tasha kini merasakan kehidupannya lebih bahagia dan positif berbanding dahulu.

"Kehidupan saya sekarang lebih bahagia dan positif berbanding dahulu, saya juga banyak meluangkan masa membaca buku-buku motivasi untuk menjadi lebih semangat serta menjalani kehidupan dengan lebih positif," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Tasha kini membintangi drama bersiri Kau Yang Pertama yang disiarkan di TV3, ia turut menampilkan Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah sebagai tunjang utama.

Sedikit info mengenai Tasha, pelakon kelahiran Selangor ini mulai aktif di industri hiburan tanah air menerusi drama bersiri Gemilang dan berjaya mengekalkan namanya sehingga kini.