Hiburan
“Semoga Sentiasa Diberkati” - Inul Daratista Taja 62 Pengunjung Pusat Karaoke Tunai Umrah
Bintang dangdut Indonesia Inul Daratista menyambut ulang tahun kelahiran ke-41 dengan menaja 62 pengunjung pusat karaokenya menunaikan ibadah umrah.
Menerusi laman sosial Instagram, Inul berkongsi beberapa video dan foto ketika majlis sidang media cabutan 62 nama pengunjung bertuah untuk tatapan umum.
“Bismillah, saya bagi umrah sebanyak 62 orang untuk pengunjung setia Inul Vizta di seluruh Indonesia. Undian saya lakukan hari ini di Vizta pejaten. Selamat buat yang beruntung,” tulis Inul di ruangan kapsyen.
Menerusi video tersebut, kelihatan Inul menghubungi para pemenang yang bertuah untuk memberitahu berita baik tersebut.
Difahamkan, kesemua 62 pemenang akan mengerjakan ibadah umrah di Makkah bersama Inul dan keluarganya pada Mac nanti.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya bersyukur dengan keputusan tajaan Inul yang disifatkan sebagai pemurah.
Malah, ramai yang turut mendoakan Ibadahnya kelak dipermudahkan dan mendapat umrah yang mabrur.
“Alhamdulillah, saya ikut bahagia bunda. Semoga menjadi tetamu Allah dan semoga ibadahnya berjalan lancar dan sempurna,” doa seorang wargamaya.
“Macam manalah hartanya tidak makin bertambah, sentiasa bersedekah. Masya-Allah semoga diberkati selalu bunda,” kata seorang wargamaya.
“Luar biasa berkat dan semakin melimpah rezekinya. Semoga tahun depan buat lagi dan nama aku terpilih,” komen seorang wargamaya lagi.
Sekadar info, Inul dan suaminya Adam Suseno membuka perniagaan pusat karaoke menggunakan nama Inul Vista pada tahun 2013.
Selain Inul, penyanyi Rossa turut mempunyai perniagaan pusat karaokenya sendiri.
Must-Watch Video