Aktres jelita Fasha Sandha meluahkan rasa beryukur apabila dapat menghantar dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 8, dan Putri Raysha Jemaima, 6, ke sekolah rendah dan pusat mengaji.

Menerusi laman sosial Instagram, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 37, berkongsi sekeping foto bersama anak-anaknya yang kini berada di tahun satu dan tahun dua persekolahan untuk tatapan umum.

“Alhamdulillah dapat cuti sehari hari ni, dapat temankan anak pegi sekolah dan hantar pegi mengaji. Rasa sempurna hari ini, sempurna sebagai seorang ibu,” ujarnya menerusi ruangan kapsyen.

Malah Fasha turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

“Selamat hari wanita kesayanganku!!” tulisnya lagi.

Menerusi perkongsian itu lagi, Fasha turut mengenakan tudung yang sedondon dengan anaknya.

Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang memberikan ucapan selamat Hari Wanita pada isteri aktor Aidil Aziz itu.

Malah ada yang turut memberikan pujian kepada Fasha yang tampil manis bertudung.

“Syukur Alhamdulillah, suka tengok sis sekarang,” puji seorang wargamaya.

“So sweet, happy International Women’s day to you too,” komen seorang wargamaya.

“Selamat Hari Wanita juga kak Fasha. Minat dari zaman akak berlakon Spa Q lagi,” tulis seorang wargamaya.

“Cantiknya ibu pakai tudung,” ujar seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, foto tersebut telah menerima hampir 12,000 tanda suka daripada wargamaya.