Pelakon Elisya Sandha mendedahkan majlis pernikahannya dengan Uzair Haqimy pada asalnya dirancang pada 22 Februari 2022.

Namun disebabkan situasi pandemic Covid-19 yang tidak boleh dijangka, Elisya dan Uzair memutuskan untuk mempercepatkan majlis pernikahan mereka pada saat akhir.

"Memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.

"Dengan situasi pandemik COVID-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan.

"Termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu. Insya-Allah kalau tiada aral, kami merancang untuk mengadakan majlis keraian di kampung halaman saya di Perlis.

Cuma tarikhnya belum tahu lagi," kata pelakon drama Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu.

Elisya, 21, dan Uzair, 25, berkenalan sejak lima tahun lalu ketika masing masing masih di bangku sekolah akhirnya mekar hingga jenjang pelamin hari ini.

Pasangan berkenaan bernikah kira kira jam 3.11 petang semalam (Sabtu) di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah.

Kata Elisya selepas ini, mereka juga merancang untuk tinggal di rumah yang dibeli suaminya.

"Cuma kami akan habiskan masa dulu dengan keluarga. Lepas itu baru fikir nak pindah ke rumah berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai suaminya, Elisya menyifatkan Uzair sangat bertanggungjawab.

"Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya.

"Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik... Insya-Allah. Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua.

"Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu," katanya.

Sementara itu, Uzair pula menyenangi peribadi isterinya.

"Elisya cukup menenangkan saya. Kami cuba melengkapi diri masing masing.

"Ini fasa baru untuk kami lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga ia dipermudahkan," kata Uzair.

Pasangan ini melangsungkan pertunangan pada 31 Januari lalu.