Penyanyi Shiha Zikir akui hairan apabila jumlah tontonan video lirik single terbarunya Irama di YouTube menurun.

Menurut Shiha, pihak label rakamannya sedang mencari punca kepada masalah tersebut.

"Mengenai single Irama ini, saya hairan juga, jumlah tontonan video lirik lagu ini di YouTube sudah hampir 70-80,000 tontonan, tetapi tiba-tiba turun ke 60,000, saya pelik dan telah memaklumkan kepada label rakaman, mereka masih mencari punca masalah ini.

"Tidak lama selepas itu, jumlah tontonan naik melebihi 60,000, tapi baru-baru ini saya tengok, turun pula ke sekitar 45,000 tontonan pula, saya tertanya-tanya dan masih belum dapat jawapan," katanya kepada Gempak pada Selasa.

Bagaimanapun, Shiha menarik nafas lega kerana pihak media memberikan sokongan padu kepadanya dalam mempromosikan lagu Irama.

Kata selebriti versatil ini, perkara itu juga membuatkan dia berasa terharu.

"Tidak mengapa asalkan pihak media seperti wartawan, radio dan TV sangat memberi sokongan kepada saya mempromosikan lagu ini, saya lega satu perkara, Alhamdulillah dipermudahkan.

"Saya terharu dengan sokongan rakan-rakan media semua, lagu Irama bukan sahaja dimainkan di stesen radio Malaysia, ia juga telah dimainkan di Brunei dan Singapura.

"Sekarang dalam proses untuk bawa ke radio di Indonesia pula," tambahnya.

Menerusi tinjauan Gempak, jumlah tontonan video lirik lagu Irama kini mencatatkan sekitar 61,174 ketika artikel ini ditulis.

Single Irama adalah hasil kerjasama label yang menaungi Shiha, Todak Music bersama Alternate Records & Talents.

Sekadar rekod, ini bukan kali pertama Shiha berhadapan masalah penurunan tontonan video lagunya di YouTube kerana single AEWO yang dilancarkan tahun lalu juga pernah mengalami perkara sama.

BACA: Jumlah Tontonan Video Muzik Di YouTube Menurun...Ini Komen Shiha Zikir