Vokalis Slam, Zamani meluahkan rasa pilu kehilangan kakak kesayangannya, Zuraidah Ibrahim yang pergi menghadap Illahi petang semalam (Sabtu).

“Tarikh 26 September 2020 akan menjadi kenangan paling memilukan dalam hidup saya buat selamanya.

“Bohonglah jika saya kata tak sedih. Sesiapa pun akan berasakan perkara sama. Selepas kakak pergi saya hilang tempat mengadu.

“Sekarang tinggal saya dengan abang Zulfazli dan kami pun masing-masing tak berapa sihat," katanya.

Mengimbas kembali perbualan terakhir dengan Allahyarham kakaknya, Zamani berkata arwah menasihatinya supaya meneruskan persembahan di Pulau Pinang.

“Saya bagitahu kepada dia (arwah) yang saya tak nak pergi show sebab bimbangkan dia, keadaan dia juga tak berapa elok masa tu.

"Tapi, dia kata jangan…sebab dah janji dengan orang. Nanti kena saman pula. Tapi itulah, saya memang berat hati nak pergi.

“Saya dan isteri (Nur Juliana Abdul Rani) bertolak dari Kuala Lumpur jam 9 pagi, dan ketika sampai di Bukit Gantang, saya terima satu panggilan telefon yang dijawab oleh isteri.
"Bila nampak isteri diam selepas meletak telefon saya tanya dia kenapa dan dia jawab. Kami teruskan perjalanan ke lokasi persembahan untuk bertemu penganjur dan jelaskan keadaan saya.

“Alhamdulillah, mereka faham dan membantu membelikan tiket penerbangan pulang pada jam 5.45 petang,” kata Zamani yang sepatutnya menjayakan persembahan Konsert Mini Bersama Zamani & Ameng.

Zuraidah, 53, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi buah pinggang di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru, jam 1 tengahari.

Bagaimanapun kata Zamani, dia bersyukur sempat pulang untuk menyelesaikan urusan pengebumian kakaknya.
Jenazah Zuraidah yang juga ibu penyanyi Zynakal, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, Kuala Lumpur pada jam 9 malam.