Penyanyi antarabangsa, Lorde telah melancarkan album terbaru berjudul Solar Power.

Kata Lorde, album studio ketiga yang dilancarkan hari ini itu mengisahkan tentang alam semulajadi.

"Album ini mengisahkan tentang alam semulajadi, dan mengajak untuk berfikir mengenainya.

"Saya sendiri pun seorang yang menyayangi alam sekitar, kita sudah dikurniakan planet ini, jadi kita harus menjaganya," katanya.

Lorde berkata demikian dalam sesi media secara virtual dari New York, Amerika Syarikat pada Khamis.

Berkongsi lanjut, Lorde bercerita tentang inspirasi menghasilkan album tersebut yang bermula daripada rutin harian berjalan di taman.

"Saya selalu membawa anjing berjalan-jalan di taman setiap hari, daripada rutin yang biasa itu, saya lihat musim berubah, sinaran matahari di pagi hari dan sebagainya, saya mula rasa keajaiban yang berlaku di dunia. Ya, hanya dengan pergi ke taman.

"Nama Solar Power itu pula muncul dalam fikiran saya secara tiba-tiba, tak tahulah kenapa tapi saya memang rasa untuk menggunakannya," katanya lagi.

Selain itu, Lorde juga merasakan album terbaru itu menunjukkan dirinya yang telah mengalami fasa perubahan.

"Album ini menunjukkan siapa saya, ia merupakan satu bahagian yang besar dalam hidup saya.

"Saya telah melalui pelbagai perubahan dari usia remaja dahulu hingga ke pertengahan 20'an sekarang," katanya.

Solar Power memuatkan 12 lagu antaranya The Path, Solar Power, California, Mood Ring, Fallen Fruit dan lain-lain.

Baru-baru ini, Lorde mengumumkan akan mengadakan konsert jelajah seluruh dunia pada tahun 2022.

Jelajah itu dijadualkan membuka tirai pada 26 Februari di New Zealand dan berakhir pada 28 Jun 2022 di London.