Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dengan segera kejadian yang menimpa pemain bola sepak Selangor FC, iaitu Faisal Halim pada Ahad.

Titah PDRM siasat hingga ke akar umbi


Istana Alam Shah menerusi kenyataannya memaklumkan, baginda memandang serius terhadap kejadian membabitkan Faisal yang juga merupakan pemain kebangsaan.

“DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa pihatin dah bimbang susulan kejadian terbaru berunsur keganasan membabitkan pemain bola sepak Selangor FC, yang juga pemain kebangsaan, Faisal Halim.

“Baginda selaku Penaung Selangor FC dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral ini dan mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera.

“Baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis,” maklum kenyataan tersebut yang dimuat naik pada Facebook Selangor Royal Office, pada Ahad.

Insiden serius dan melampau


Baginda juga menzahirkan rasa kecewa dan menganggap kejadian seumpama itu sebagai melampau kerana melibatkan nyawa atlet-atlet sukan.

“Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

“Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

“Baginda khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

“Baginda mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC,” titah baginda.

BERITA TRENDING: Faisal Halim Disimbah Cecair Dipercayai Asid, Muka & Kepala Cedera


Terdahulu, pemain sayap Selangor FC, Faisal cedera di muka, kepala dan badan akibat disimbah cecair dipercayai asid.

Selangor FC menerusi satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius insiden menimpa Faisal dan akan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

BERITA TRENDING: Akhyar Rashid Cedera Dibahagian Kepala, Dipukul & Disamun


Selain Faisal, seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid didakwa menjadi mangsa samun dalam kejadian berlaku di Terengganu pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, Akhyar yang menyertai pasukan Terengganu FC (TFC) musim ini turut mengalami kecederaan.