Filem Mat Kilau arahan pengarah Syamsul Yusof belum habis dengan fenomenanya.

Meski sudah memasuki hari ke-33, filem yang memperjuangkan kebangkitan bangsa Melayu ini tetap menerima sambutan hangat di pawagam.

Terbaharu, Mat Kilau meraih kutipan RM90 cuti sepanjang 33 hari ditayangkan dan dengan filem yang masih ditayangkan di pawagam, tidak mustahil naskhah ini mampu mencecah sehingga RM100 juta kutipan!

Lebih membanggakan, Mat Kilau menjadi filem No satu dalam carta box office mingguan untuk 5 minggu berturut-turut mengenepikan filem besar Hollywood.

Melihat kepada perkembangan yang cukup positif dan memberangsangkan ini, Syamsul mengaku tidak dapat menahan air matanya dari mengalir.

“Air mata syukur..tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu.

“Terima kasih penonton masih terus beri kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hinggalah sekarang. InsyaAllah moga terus diberi ilham untuk filem akan datang,” katanya.

Syamsul turut yakin dengan fenomena yang dicetuskan Mat Kilau, ia memberi bukti bahawa filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ia sekali gus memberi harapan baharu kepada pelaku seni serta sinema tempatan.

Telah terbukti beberapa kali karya filem Melayu masih boleh berdiri dibumi sendiri. Ini harapan baru sinema tempatan dan buat semua anak seni tanah air.

“Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama sama majukan industri seni Malaysia,” katanya penuh semangat.

Terdahulu filem yang menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau ini mencetus fenomena apabila bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa, tetapi penonton hadir ke pawagam dengan menyarung busana tradisional Melayu termasuk bertanjak.

Untuk rekod, Mat Kilau memadam rekod filem arahan Syamsul sendiri iaitu munafik 2 dengan kutipan naskhah tempatan terbanyak dan menyingkirkan kutipan terbanyak filem antarabangsa, Avengers End Game.