Koreografer Waris & Alamak, Alam menegaskan persembahan lagu Nobody nyanyian asal kumpulan Wonder Girls malam tadi hanyalah mengikut tema dan bukannya bercirikan ‘drag queen’.

Menurut Alam mewakili kumpulannya, persembahan akan jadi tidak menarik jika mereka ambil pendekatan biasa.

“Kalau nak ‘lelakikan’ lagu Wonder Girls tu, akan jadi hodoh. Tema persembahan malam tadi adalah untuk tiru sama seperti di dalam muzik video.

“Jadi apa yang kami nak sampaikan, sama seperti yang anda semua tonton dalam muzik video Nobody tu,” jelas Alam kepada Gempak.



Alam ditemui selepas membuat persembahan konsert Dansa Dan Sing minggu kelima bertempat di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Tambah Alam lagi, mereka hanya menyampaikan intipati di dalam muzik video sebenar ke atas pentas.

“Kami cuba sehabis baik untuk menari seperti perempuan, bukannya ‘drag queen’.

“Tambahan lagi kostum kami malam ni, solekan tipis tu ada sebagai tanda kami hormat pentas.



“Kalau kata persembahan drag, kami dah pakai rambut palsu dan bulu mata, tetapi tidak,” ulas Alam lagi.

Pada persembahan malam tadi, Waris & Alamak cemerlang di tangga kedua dengan peratusan markah 89.87 daripada Datuk Rizalman Ibrahim dan Linda Jasmin selaku juri tetap dan penyanyi Mark Adam sebagai juri jemputan.

Konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).

Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!