Laman Utama
Tan Sri Michelle Yeoh Suka Iklan Raya Bersifat Majmuk, Bicara Tentang Simpan Trofi Oscar Di Ipoh!
Tan Sri Michelle Yeoh adalah sebuah epitome — individu yang menjadi teladan unggul kerana kualiti yang dipertahankan sejak dahulu hingga sekarang.
Padahal pada usia 61 tahun, lebih tiga dekad ‘bertempur’ sendirian di Hollywood bukan kembara yang mudah. Beliau boleh pulang ke Malaysia atau sekurang-kurangnya berada di Hong Kong untuk memastikan karier seninya berada dalam zon nyaman.
Meski demikian, Yeoh memilih bertahan, menentang arus dan berada dalam roller coaster karier yang akhirnya membawa kepada satu takdir indah.
Advertisement
‘Dan pemenangnya adalah… Michelle Yeoh,’ begitu sang pengacara mengumumkan nama anak Malaysia ini sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscar pada Mac lalu.
Pengiktirafan tersebut menjadi kemuncak epitome karier Yeoh yang tidak pernah berpaling dari menggapai impian yang dibawa sejak usia belasan tahun.
Kemenangannya juga sebuah ironi kerana saat menjejakkan kaki di London, Yeoh mahu menjadi penari dan membuka studio tarian.
Namun takdir berkata lain — kecederaan yang dialami membuat Yeoh masuk ke bidang perfileman, bermula ikut terlibat dalam iklan dan seterusnya membintangi filem-filem hebat sekaligus pecah panggung seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon’s dan Crazy Rich Asians.
Kemasyhuran Michelle Yeoh!
Tapi, lewat pertemuan perdana dengan media Malaysia menerusi acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet yang berlangsung di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur pada 18 April lalu, semua kemasyhuran yang dinikmati Yeoh hanya dipamer lewat kerjayanya yang penuh glamor.
Kerendahan hati dan sikap membumi ikon asal Ipoh, Perak ini terserlah. Banyak pesan dan nasihat yang sangat sederhana tetapi besar makna disampaikan oleh bekas Miss World Malaysia 1983 ini.
“Kenapa saya masih di sini? Kerana ini bukan hanya pekerjaan, tapi sebuah kecintaan. Saya seronok melakukannya. Kerana itu saya masih di sini dan akan terus berada di sini (dunia seni),” ujar Yeoh penuh semangat.
Baginya, perkataan bersara dari dunia seni tidak pernah wujud.
“Biarpun satu hari nanti saya tidak lagi berlakon, saya tetap di sini dan menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk dikongsikan.
“Bukan sebagai pengarah kerana saya melihat seorang pengarah tidak mempunyai kehidupan. Saya sayangkan hidup saya. Tapi sebagai seorang penerbit kerana saya pernah menerbitkan beberapa karya juga sebelum ini,” jelas Yeoh dalam pertemuan yang berlangsung sekitar 20 minit itu.
Terbuka bekerja dengan produksi Malaysia
Malah namanya tercatat sebagai pencetak sejarah pelaku seni Asia pertama menang di Oscar, Yeoh tidak menolak untuk bekerjasama dengan produksi tempatan.
“Saya memang mahu bekerja dengan produksi tempatan yang mampu membuat perubahan dan bergerak ke hadapan. Dan saya yakin ramai pengkarya filem hebat di negara ini.
“Buat filem bukan untuk itu atau ini dan perlu pergi ke peringkat global, bercakap ‘bahasa’ global. Kita perlukan peluang dan platform untuk ini,” katanya penuh yakin.
Yeoh juga menjelaskan sisi glamor dan popular yang dikecapi kini dilihat khalayak adalah produk akhir kerana hakikatnya, beliau bekerja keras serta memegang komitmen yang cukup tinggi untuk relevan dan bertahap sehingga puluhan tahun.
“Saya boleh katakan perjalanan kerja saya seperti sebuah kembara roller coaster. Tidak mudah dan banyak rintangan yang telah dilalui sebelum akhirnya saya sampai di sini.
“Apa yang khalayak lihat adalah sesebuah karya yang telah siap atau berada pada peringkat akhir, tapi perjalanan yang kami lalui sangat panjang. Ia memang penuh dengan roller coaster,” katanya lagi.
Ibu Simpan Trofi Oscar, Jangan Jadi 'Michelle Yeoh'
Biar penuh pancaroba dan seperti menaiki roller coaster, kembara seni Yeoh sangat berbaloi. Lewat lakonan hebatnya sebagai Everything Everywhere All at Once beliau dinobatkan sebagai yang terbaik dalam beberapa anugerah berprestij.
Selain dijulang di Oscar, beliau sebelumnya sempat dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Golden Globe ke-80 dan Screen Guild Awards ke-29 menerusi watak ikoniknya sebagai Evelyn Quah Wang.
Mengenang kembali saat namanya disebut sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik Oscar, Yeoh mengaku tidak mempunyai ekspektasi tinggi untuk menang sementelah persaingannya juga bintang gred A Hollywood.
“Tersenarai dan berada di Oscar saja sudah menjadi pengalaman indah buat saya. Sebab ada banyak aktres hebat yang boleh menang,” katanya ringkas.
Menyentuh tentang trofi yang dimenanginya, Yeoh mengatakan buat masa ini ia akan berada di kediaman keluarganya di Ipoh.
“Ibu simpan trofi saya. Ada kawan yang sudah dua kali menang Oscar meletak trofinya di dalam tandas,” katanya sambil ketawa.
Sementara buat dirinya, beliau kembali sibuk di lokasi dan tetap meneruskan kecintaannya yang tidak pernah mati ini. Antara projek terbaharu beliau adalah terbabit dengan produksi bersama pengarah Jon M Chu dan bermain dengan rakan pelakon seperti Cynthia Erivo, Jeff Goldblum dan Ariana Grande untuk keluaran 2024.
Saat menjawab salah satu soalan yang diberikan peminat untuk bagaimana mahu berjaya dan menjadi seperti dirinya, Yeoh meminta agar generasi muda mengejar mimpi dan jangan berhenti belajar.
Bintang yang bakal muncul dalam Disney+ show menerusi American Born Chinese ini juga tidak mahu generasi muda menjadi dirinya.
“Jangan jadi Michelle Yeoh, jadi diri anda sendiri. Percaya dengan apa yang anda lakukan dan jangan takut jatuh. Dan orang di sekeliling teruskan menyokong. Anda boleh menjadi apa yang anda inginkan, malah lebih baik dari saya. Jangan menjadi saya,” serunya.
Iklan Raya Pelbagai Bangsa
Sementara itu, saat ada kelompok yang melihat Yeoh tidak mewakili Malaysia dengan setiap pencapaian yang dilakukan, figura hebat ini membuktikan sebaliknya.
Selain bercakap tentang bagaimana budaya dan kehidupan dengan pelbagai kaum membentuk dirinya menjadi individu yang ‘bernilai’ pada hari ini, dalam diam, Yeoh yang sudah puluhan tahun menetap di luar negara rupa-rupanya tidak ketinggalan mengambil tahu perkembangan projek tempatan.
Lebih membanggakan apabila Yeoh menyentuh tentang hasil karya sutradara berprolifik tinggi dan kreatif merujuk kepada Allahyarham Yasmin Ahmad, menerusi sentuhan magisnya dalam penghasilan iklan Aidilfitri yang sentiasa bersifat majmuk.
“Indahnya Malaysia ini kerana kita hidup dalam pelbagai budaya dan berbilang kaum.
“Kita ada banyak perayaan untuk dirayakan seperti Hari Raya, Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
“Dan saya melihat itu (kepelbagaian kaum) ditonjolkan dalam iklan raya.
“Saya membesar dalam suasana seperti ini (majmuk) yang menjadikan saya lebih terbuka, memberi dan menerima di antara satu sama lain. Ke mana pun saya pergi saya tidak melihat perbezaan bangsa seperti Cina atau India,” katanya.
Must-Watch Video