Pelakon Sharifah Amani meluahkan pandangannya mengenai tindakan aktor Tony Eusoff yang mengemukakan permohonan maaf secara terbuka semalam berhubung isu bayaran lakonan yang tidak masuk akal.

Amani, 33, berkata, Tony tidak perlu berasa bersalah dengan apa yang didedahkannya itu memandangkan ia merupakan satu tindakan yang wajar buat dirinya dalam mempertahankan hak sebagai seorang penggiat seni.

"Saya tak rasa awak patut rasa bersalah pun @tonyeusoff. Apa awak luahkan adalah hak awak sebagai seorang rakyat dan penggiat seni.

"Kita kena bersuara untuk perbetulkannya. Ini adalah industri kita. Ianya adalah tanggungjawab kita," tulisnya menerusi perkongsian status di Twitter.

Begitupun, kata Amani, dia berasa bangga apabila Tony mempunyai keberanian untuk berkongsi realiti dan dilema yang berlaku dalam industri seni tempatan.

"Tiada apa yang akan berubah kalau kita semua terlalu takut untuk bersuara.

"Terima kasih kerana menjadi seorang yang berani @tonyeusoff untuk bersuara bagi mereka yang tidak mampu melakukannya," luahnya.


Semalam, Tony tampil membuat permohonan maaf di Twitter selepas merasakan tindakannya meluahkan isu bayaran tidak setimpal daripada pihak produksi sebagai hanyalah mengikut perasaan.

BACA: "Tindakan Saya Mengikut Emosi & Bukan Rasional" - Isu Bayaran Berlakon Seciput, Tony Eusoff Mohon Maaf

Permohonan maaf itu dibuat selepas aktor berusia 42 tahun itu berkongsi paparan perbualan mesejnya mengenai bayaran rendah yang ditawarkan oleh wakil produksi di Twitter.

BACA: "Lebih Baik Menjaja Je" - Tony Eusoff Kecewa Dapat Tawaran RM500 Berlakon Drama?

Perkongsian Tony tersebut kemudian menerima pelbagai respons daripada penggiat seni tanah air.