Kerajaan hari ini mengeluarkan beberapa garis pandungan buat produksi filem atau drama untuk memulakan penggambaran.

Menerusi sidang media harian, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara syaratnya digariskan termasuklah syarikat penggambaran perlu melantik seorang penyelia keselamatan untuk memantau Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan krew dan pelakon.

Menurutnya, syarikat produksi pengambaran tidak wajib jalani ujian COVID-19, namun sekiranya ada kes disyaki positif COVID-19 dikesan di lokasi pengambaran, barulah semua yang terbabit wajib melakukan saringan.

"Jadi apabila ada kes (positif COVID-19) ketika pengambaran dilakukan, ujian wajib dilakukan kerana kita tidak mahu kluster pengambaran pula timbul," katanya.

Tambahnya, mengenai proses dandanan, setiap jurumekap atau jurudandan perlu memakai 'face shield' atau pelindung muka dan sarung tangan untuk memulakan tugas.

Untuk rekod pada 20 Mei lalu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula 10 Jun.

Antara SOP ditetapkan termasuklah penggambaran tidak boleh membabitkan babak yang menyaksikan berlakunya sentuhan fizikal antara pelakon kerana ia melanggar pematuhan penjarakan sosial.

Sumber: Twitter, Bernama