BERITA
Tokoh Sastera Negara, Mana Sikana Meninggal Dunia
Pengkritik, pengkaji dan penteori sastera negara, Dr Abd Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana meninggal dunia pada usia 80 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur jam 11 pagi Isnin.
Anak bongsu Allahyarham, Ismi Azhan, 40, memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pernah dirawat di hospital yang sama sebelum ini.
“Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Allahyarham yang merupakan Sasterawan Perak kedua meninggalkan seorang isteri, Salmah Ali, 81, dan lima orang anak.
Mana Sikana dikenali sebagai pengkarya prolifik yang mengangkat falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya-karya kreatifnya. Antara karya terkenalnya ialah drama Pasir-Pasir di Pasir Salak, yang mengajak penonton menelusuri makna tersirat di sebalik peristiwa pembunuhan J W W Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak.
Beliau pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Seri Angkasa bagi Skrip Drama Radio dan Televisyen Terbaik (1973), Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978), Hadiah Sastera UKM (1978) dan Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982).
Sasterawan Negara, Datuk Dr Siti Zainon Ismail menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar dalam dunia ilmuwan sastera negara.
“Arwah banyak berkongsi ilmu, khususnya dalam bidang kritikan penulisan drama. Banyak buku telah dihasilkannya dan beliau sangat disegani kerana ilmunya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zuki Pileh berkata, Mana Sikana merupakan ilmuwan yang dihormati bukan sahaja di Malaysia malah di Nusantara khususnya dalam bidang kritikan sastera.
“Allahyarham menulis secara konsisten untuk ruangan Seni & Budaya dalam Sinar Ahad sejak lima tahun lalu. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat akhbar ini,” ujarnya.
Tambah Zuki, Allahyarham seorang penulis yang sangat berdisiplin dan sentiasa menghantar artikel lebih awal, kira-kira lima hari sebelum tarikh siaran.
“Saya kagum kerana arwah masih aktif menulis walaupun berusia 80 tahun,” katanya.
Karya terakhir Allahyarham bertajuk Model Produksi dan Pengetahuan Sastera telah disiarkan dalam Sinar Ahad pada 11 Mei lalu, kira-kira seminggu sebelum beliau dimasukkan ke hospital.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video