Bagi ibu-ibu yang mengandung sebenarnya memang baik diamalkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran ketika tempoh hamil.

Bahkan, terdapat surah-surah tertentu juga yang boleh diamalkan agar dikurniakan kesihatan dan kebaikan buat anak yang dikandungnya.

Begitupun, bagi pelakon Falisha Crossley yang kini mengandung anak keduanya, dia meluahkan rasa syukur apabila niatnya untuk mengkhatam al-Quran yang dikhususkan buat anaknya yang bakal lahir tercapai.

"Alhamdulilah, saya sempat selesai khatam al-Quran malam tadi sebelum nak bersalin. Ini pun dah mengah-mengah rasanya. Sekarang ini, saya sedang menunggu masa sahaja sebab usia kandungan dah 37 minggu.

"Bacaan surah-surah lain yang biasa orang baca itu saya amalkan juga, cuma pada masa sama, saya memang niat nak khatam al-Quran khusus untuk bayi," katanya ketika dihubungi Gempak.

Terdahulu, Falisha yang pernah memenangi anugerah Pelakon Baru Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 itu turut berkongsi satu hantaran di Instagram miliknya.

Dalam entri tersebut, Sha turut berkongsi doa yang diamalkan sepanjang tempoh kehamilan.

A post shared by ?Mrs. RfqArf ? 010117 (@falishacrossley)


Sementara itu, Falisha memberitahu, dia turut berasa gementar untuk melalui proses bersalin kali ini berikutan perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

"Minggu depan dah 38 minggu, saya dan suami kena jalani ujian swab terlebih dulu. Suami akan teman nanti, jadi dia pun kena buat sama ujian tersebut.

"Lebih rasa gementar nak buat swab daripada bersalin," selorohnya.

Pada masa sama, kata Falisha, dia juga sudah melakukan segala persiapan untuk menyambut kelahiran bayi lelakinya itu.

"Nasib baik sempat dah sempat beli sikit-sikit sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tempoh hari. Barang lama Raysha yang boleh guna pun ada lagi," katanya.

Sebelum ini, pada Ogos lalu, Falisha memaklumkan dirinya hamil anak kedua.

BACA: Falisha Crossley Hamil 6 Bulan, Bakal Timang Bayi Lelaki

Falisha atau nama sebenarnya, Nur Falisha Crossley Faisal, 34, mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohamad Rafiq Mohd Arif pada Januari 2017.

Pasangan itu kemudian dikurniakan anak sulung, Nur Raysha Mikhayla yang kini berumur tiga tahun.