Seorang wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting oleh anak saudaranya dalam kejadian pergaduhan di sebuah rumah di Gelung Bubu , Pekan Darat, pada Selasa.
Mangsa yang berusia sekitar 80-an itu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya sejurus kejadian untuk rawatan lanjut namun disahkan telah meninggal dunia.
Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 11 pagi tadi ketika mangsa dikatakan cuba meleraikan pertengkaran antara anak saudaranya dan ibu kandungnya.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu tidak berpuas hati apabila mangsa mencampuri urusan pergaduhan dengan ibunya di dalam rumah itu selepas mangsa yang tinggal bersebelahan datang untuk meleraikan pertengkaran tersebut.
Selepas kejadian tersebut, suspek dikatakan turut mengamuk dan bertindak memecahkan cermin tingkap rumah jiran sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal sebelum orang ramai menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Suspek kemudian berjaya ditahan anggota polis tidak jauh dari lokasi kejadian.
Difahamkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun dipercayai mengalami masalah mental.
Sementara itu , Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian tersebut namun maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan kemudian.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Astro Awani