Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini meneliti laporan susulan gesaan supaya menyemak semula saranan berhubung jangkitan COVID-19, lapor AWANI.

Ia ekoran tindakan sekumpulan lebih 200 saintis yang mendakwa koronavirus SARS-CoV-2 boleh tersebar menerusi partikel kecil dalam udara.

BACA : 239 Saintis Dari 32 Negara Temui Bukti Covid-19 Boleh Merebak Melalui Udara, Desak WHO Beri Kenyataan!

WHO sebelum ini memaklumkan koronavirus merebak dari individu ke individu lain menerusi titisan cecair badan dari hidung atau mulut.

Virus itu disebar apabila individu yang mempunyai virus berkenaan batuk, bersin atau bercakap.

Namun fakta itu disanggah 239 saintis dalam surat terbuka kepada agensi itu baru-baru ini.

Kumpulan saintis itu turut mendesak agar WHO mengemas kini garis panduan berhubung COVID-19.

WHO memaklumkan akan meneliti panduan berkenaan dengan pakar teknikal dan sebarang perubahan dalam penilaian risiko penyebaran COVID-19 akan mengubah nasihat pertubuhan itu berhubung amalan penjarakan sosial satu meter.

Kerajaan yang bergantung kepada polisi berkenaan juga mungkin perlu mengubah pendekatan kesihatan awam bagi menghentikan penyebaran virus tersebut.

Sumber : Astro AWANI