Ringkasan AI
- Satoru Takaba menyewa rumah tempat isterinya dibunuh selama 26 tahun untuk mengekalkan keadaan tempat kejadian tanpa mengubah apa-apa.
- Dia membayar sewa sebanyak 22 juta yen (lebih RM680,000) dan tidak pernah membersihkan kesan darah di rumah tersebut.
- Polis membuka semula siasatan dan menumpukan perhatian kepada individu yang rapat dengan keluarga Takaba.
- Kumiko Yasufuku, yang pernah disoal siasat sebelum ini, menyerah diri selepas DNA di tempat kejadian sepadan dengan miliknya.
- Namiko Takaba dibunuh pada 13 November 1999 dengan kesan tikaman berulang kali di leher dan kes itu melibatkan siasatan besar-besaran polis pada masa itu.
Demi merungkai misteri pembunuhan isteri, seorang lelaki sanggup membayar rumah sewa selama 26 tahun hanya untuk kekalkan keadaan seperti mana isteri dibunuh.
Lelaki yang dikenali sebagai Satoru Takaba mengekalkan rumah tersebut tanpa disentuh demi memelihara bukti dan menunggu keajaiban penyelesaian kes isterinya, Namiko Takaba.
Memetik laporan South Morning China Post, Satoru juga difahamkan tidak pernah berkahwin semula dan memilih untuk tinggal di tempat lain bersama anaknya.
Sepanjang tempoh itu, Satoru membayar sewa rumah berkenaan sebanyak 22 juta yen (lebih RM680,000) dan tidak pernah membersihkan kesan darah isterinya di lokasi kejadian.
“Saya tidak ubah apa-apa dalam rumah itu. Semua barang dibiarkan seperti asal kerana saya menunggu sesuatu petunjuk,” katanya kepada media Jepun.
Dia juga aktif mengedarkan risalah serta tampil dalam wawancara media untuk memohon bantuan orang ramai memberi maklumat mengenai pembunuh isterinya.
Selepas siasatan dibuka semula tahun lalu, pihak polis memberi tumpuan kepada individu yang pernah rapat dengan keluarga Takaba.
Pada 30 Oktober 2025, Kumiko Yasufuku, 69 tahun, akhirnya menyerah diri.
Yasufuku pernah disoal siasat sebelum ini, namun enggan memberikan sampel darah untuk ujian DNA.
Hasil siasatan baharu mendapati DNA di lokasi pembunuhan sepadan dengan miliknya, dan dia ditahan atas tuduhan membunuh.
Dalam keterangannya kepada polis, Yasufuku berkata dia hidup dalam ketakutan dan penyesalan sejak kejadian itu.
“Selama dua dekad, saya risau setiap hari. Saya takut menonton berita tentang kes ini.
Saya tidak mahu ditangkap kerana tidak mahu menyusahkan keluarga. Tapi bila polis hubungi saya Ogos lalu, saya sudah bersedia. Saya ingin memohon maaf kepada Namiko,” katanya.
Namiko itu rupa-rupanya pernah menghantar coklat Hari Valentine dan surat cinta kepadanya semasa sekolah menengah, namun Takaba menolak perasaannya.
Kali terakhir mereka bertemu ialah setahun sebelum pembunuhan, apabila wanita itu mengadu kepenatan kerana bekerja walaupun sudah berkahwin.
Kejadian tragis itu berlaku pada 13 November 1999 apabila Namiko Takaba ditemui mati dengan kesan tikaman berulang kali di leher menggunakan objek tajam.
Pihak berkuasa ketika itu mengerahkan 100,000 anggota polis dan menyoal siasat 5,000 orang, namun gagal menemui sebarang petunjuk kukuh.
Satu-satunya maklumat yang diperoleh ialah suspek dipercayai seorang wanita berdarah jenis B, berketinggian sekitar 1.6 meter dan memakai kasut saiz 24 sentimeter.