Sekilas
- Farah Lee menjelaskan dia tidak menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 atas sebab peribadi dan memilih untuk tidak berkongsi lanjut mengenai keputusan itu.
- Walaupun kurang berkongsi di media sosial, Farah menegaskan dia masih aktif menyalurkan bantuan ke Gaza dan baru-baru ini melancarkan program penajaan anak yatim di sana.
- Farah menyeru agar fokus diberikan kepada misi kemanusiaan itu sendiri, bukan kepada individu yang terlibat, demi memastikan penderitaan sebenar di lapangan tidak terpinggir.
Aktivis kemanusiaan, Farah Lee akhirnya tampil bersuara mengenai keputusan tidak menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0, selain menafikan dakwaan bahawa dia tidak lagi aktif dalam usaha menyalurkan bantuan ke Gaza.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, Farah menjelaskan bahawa dia mempunyai sebab tersendiri untuk tidak menyertai misi berkenaan dan memilih untuk tidak berkongsinya dengan lebih lanjut kepada umum.
"Saya tidak menyertai GSF 2.0 dan keputusan untuk tidak memohon bagi menyertai misi ini telah lama saya buat atas sebab peribadi serta sensitiviti yang saya pilih untuk tidak dikongsikan secara terbuka.
Bagaimanapun, Farah menegaskan bahawa dia masih terbuka untuk kembali menyertai misi flotila pada masa akan datang sekiranya diperlukan.
"Adakah saya akan menyertai misi flotila lagi? Jika diperlukan, sudah tentu saya akan tampil ke hadapan. Buat masa ini, marilah kita memilih untuk menyokong setiap usaha dan pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas demi perjuangan yang adil di mana sahaja ia berada.Jika itu masih sukar dilakukan, perbaikilah diri sendiri terlebih dahulu, bukan sekadar menuding jari,"tulisnya.
Dalam masa sama, Farah yang memilih untuk kekal berprofil rendah sejak pulang dari misi terdahulu menjelaskan bahawa meskipun dilihat kurang berkongsi mengenai penglibatannya, dia sebenarnya masih aktif dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Saya merupakan aktivis kemanusiaan. Walaupun saya dilihat seperti kurang aktif berkongsi tentang penglibatan dalam GSF 1.0, hakikatnya saya terus menyalurkan bantuan secara langsung ke Gaza sepanjang misi musim sejuk dan Ramadan tahun ini.
"Baru-baru ini, saya juga melancarkan peluang tajaan bagi mereka yang ingin membantu anak-anak yatim melalui program penajaan di Gaza. Jadi, dakwaan bahawa saya tidak lagi aktif menyumbang kepada perjuangan Gaza adalah tidak tepat malah bertentangan dengan usaha yang telah saya lakukan untuk Palestin sejak tahun 2010.
"Setiap individu mempunyai peranan, ruang dan kapasiti yang berbeza dalam perjuangan untuk Palestin. Fokus seharusnya diberikan kepada misi, bukan kepada siapa yang menyertainya. Apabila perhatian terlalu tertumpu kepada individu, penderitaan sebenar di lapangan akan terus terpinggir,"ujarnya.