Skip to main content

Berita Tempatan

Guru Bujang Didakwa 11 Pertuduhan Luar Tabii, ‘Sentuh’ 9 Murid Lelaki

tabii

Sekilas

  • Seorang guru di Kelantan didakwa atas 11 pertuduhan amang seksual fizikal, meliwat dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki berusia 8 hingga 12 tahun.
  • Kejadian berlaku antara April hingga Julai 2024 di sekolah dan rumah tertuduh di Kampung Beris Panchor, Bachok.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM55,000 dengan syarat ketat termasuk menyerahkan pasport dan larangan mengganggu mangsa.

Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas 11 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, meliwat dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap sembilan murid lelaki berusia dalam lingkungan lapan hingga 12 tahun pada April 2024 hingga Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Sulong, 52, yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Mengikut tujuh pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lapan hingga 12 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Beris Panchor, Tawang dekat Bachok, di bilik koperasi, bilik pengurusan sukan dan bilik makmal komputer sebuah sekolah di sini pada April 2024 hingga 1 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Dua lagi pertuduhan, Mohamad dituduh melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 11 tahun di kedai koperasi sebuah sekolah di sini kira-kira pukul 9.45 pagi pertengahan 2024 dan pukul 4.30 petang pada Julai 2024.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, guru tersebut juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun empat bulan di bilik pengurusan sukan sebuah sekolah di sini kira-kira pukul 5 petang pada Februari dan Mei lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohamad didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kerana 11 pertuduhan yang dihadapi tertuduh melibatkan sembilan mangsa iaitu muridnya yang berusia lapan hingga 12 tahun.

“Sewaktu kejadian, tertuduh merupakan guru di sekolah tersebut. Berdasarkan 11 pertuduhan, dua kes berlaku di rumah tertuduh manakala sembilan lagi kes di sekolah yang merupakan tempat belajar kesemua mangsa,” katanya.

Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon jaminan yang munasabah dengan syarat-syarat yang ketat diberikan agar tertuduh dapat kembali bertugas sebagai penjawat awam tanpa sebarang kekangan.

“Tertuduh sudah dipindahkan ke sebuah jabatan di Kota Bharu selepas menjalani tempoh reman selama 14 hari pada Julai lalu. Jadi, tiada risiko kacau ganggu terhadap mangsa yang terlibat.

“Anak guam saya masih bujang dan sudah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun. Pendapatannya sebanyak RM7,500 sebulan digunakan untuk menyara ibu berusia 82 tahun yang menghidap penyakit darah rendah dan menanggung anak-anak saudaranya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM55,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Must-Watch Video

Advertisement