Ringkasan AI
- ZUS Coffee mengeluarkan kenyataan rasmi susulan video tular yang memaparkan insiden di salah satu cawangan mereka.
- Mereka sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan memberi sokongan penuh kepada barista yang terlibat.
- ZUS Coffee menegaskan pentingnya menghormati privasi individu dan mengelak daripada menyebarkan video atau maklumat palsu.
- Barista yang terlibat kini berehat untuk memulihkan diri selepas insiden tersebut.
- Jenama kopi ini komited untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat dan menghormati komuniti mereka.
Rangkaian jenama kopi popular, ZUS Coffee, tampil mengeluarkan kenyataan rasmi selepas tular sebuah video di media sosial yang memaparkan insiden di salah satu cawangannya.
Menerusi hantaran di Facebook, pihak ZUS memaklumkan mereka sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
“Di ZUS Coffee, semua kakitangan dan komuniti kami adalah nadi utama dalam setiap hal yang kami lakukan.
“Kami sedar akan kewujudan sebuah video yang tular di media sosial, melibatkan interaksi yang berlaku di salah sebuah cawangan kami semalam.
“Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi Zurista (panggilan barista) kami.
“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, ZUS Coffee juga menggesa orang ramai agar menghormati privasi mereka yang terlibat serta tidak menyebarkan semula video berkenaan atau menokok tambah cerita yang tidak sahih.
“Kami menggesa semua pihak untuk menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelakkan diri daripada berkongsi atau menyiarkan semula video yang menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.
“Mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“Zurista kami kini sedang berehat dan memulihkan diri daripada insiden tersebut. Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa, sementara kami meneliti perkara ini dengan penuh perhatian.
“Di ZUS, kami tidak bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perilaku yang tidak menghormati komuniti kami. Kami akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua,” tegas pihaknya.

Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang pekerja wanita di sebuah premis makanan dan minuman (F&B) dipercayai dikasari oleh pelancong luar negara, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di media sosial, wanita berkenaan dilihat meminta pelanggan tersebut meninggalkan premis selepas pelancong itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatannya.