Skip to main content

Berita

Lelaki Obes Maut, Buat Pembedahan Demi Tambat Hati Ibu Bapa Teman Wanita

Mayat


Seorang lelaki di China yang beratnya melebihi 130 kilogram meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pintasan gastrik semata-mata untuk menambat hati ibu bapa teman wanitanya.

Mangsa berusia 36 tahun, dikenali dengan nama samaran Li Jiang dari bandar Xinxiang, wilayah Henan, dilaporkan lama bergelut dengan masalah berat badan dan sukar mengawal tabiat pemakanannya.

Dengan ketinggian 174 sentimeter dan berat lebih 134 kilogram, Li berhasrat menurunkan berat badan bagi menonjolkan imej lebih sihat sebelum bertemu keluarga kekasihnya.

“Hubungan mereka berjalan lancar dan dia mahu nampak lebih segak sebelum berjumpa ibu bapa teman wanitanya. Dia melakukannya kerana sedang bersiap untuk berkahwin,” kata abang mangsa.

Li dimasukkan ke Hospital Rakyat Kesembilan Zhengzhou pada 30 September lalu untuk menjalani pembedahan berkenaan.

Pembedahan itu selesai pada 2 Oktober dan beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa keesokan harinya.

Namun, dua hari kemudian, keadaannya tiba-tiba merosot.

Pada jam 6.40 pagi, Li ditemui tidak bernafas dan segera dibawa semula ke ICU untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober akibat kegagalan pernafasan.

Rekod perubatan menunjukkan Li mengalami sindrom metabolik, hipertensi serta hati berlemak, selain peningkatan berat badan mendadak dan masalah berdengkur semasa tidur sepanjang tahun sebelumnya.

Keluarganya kemudian mempersoalkan sama ada pihak hospital menilai dengan betul keadaan fizikal Li sebelum pembedahan dijalankan serta cara komplikasi selepas pembedahan ditangani.

Menurut pihak hospital, pesakit memenuhi syarat klinikal yang jelas untuk menjalani prosedur itu dan pasukan perubatan bertindak segera apabila keadaannya merosot.

Kedua-dua pihak bersetuju menyerahkan kes kepada Suruhanjaya Kesihatan tempatan untuk menjalankan bedah siasat dan menentukan punca sebenar kematian.

Pihak hospital menegaskan akan memikul tanggungjawab sepenuhnya berdasarkan hasil laporan dan undang-undang berkaitan.

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement