Sekilas
- Seorang guru pendidikan Islam di Senawang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 13 tahun tiga tahun lalu.
- Mahkamah mendapati keterangan mangsa dan saksi mata konsisten dan menolak dakwaan tertuduh bahawa terdapat konspirasi terhadapnya.
- Tertuduh juga diarahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penjara dan pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman.
Guru pendidikan Islam sebuah sekolah menengah di Senawang dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid perempuannya berusia 13 tahun di surau sekolah, tiga tahun lalu.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farid Azhar Nawi, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pihak pendakwaan.
Beliau ketika membacakan keputusan di akhir kes pembelaan berkata, keterangan tertuduh merupakan satu penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan.
"Keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak bersifat rekaan semata-mata serta disokong oleh dua saksi mata yang turut nampak kejadian itu.
"Dakwaan tertuduh bahawa terdapat satu pakatan atau cubaan mengenakannya oleh pihak sekolah adalah bersifat andaian yang gagal dibuktikan," katanya.
Menurutnya, mahkamah turut berpendapat yang saksi kanak-kanak yang dipanggil dalam kes ini merupakan saksi jujur dan tidak berniat jahat.
Surita berkata, tertuduh sebagai tenaga pengajar yang telah diarahkan membimbing kanak-kanak, tapi menyalahgunakan kedudukannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma serta mencemar nama baik guru agama dan telah menjatuhkan imej sekolah.
"Tertuduh sepatutnya melindungi dan memberi tunjuk ajar yang baik kepada anak murid, bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang baru berusia 13 tahun ketika kejadian," ujarnya.
Beliau turut menegaskan yang mahkamah tidak boleh bertolak ansur dalam kes melibatkan amang seksual terhadap kanak-kanak yang merupakan satu kesalahan serius.
Selain itu, Surita turut mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh bagi maksud seksual pinggang seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Ogos 2022 jam lebih kurang 5.30 petang di surau sebuah sekolah menengah di Senawang di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.
Terdahulu peguam, Nor Azleen Khairina A Aziz memaklumkan kepada mahkamah yang tertuduh berhasrat memfailkan rayuan terhadap sabitan dikenakan dan hukuman berat berisiko mendatangkan ketidakadilan kepadanya.
Ujarnya, tertuduh juga merupakan pesalah kali pertama dan tiada sebarang rekod lampau serta mempunyai dua isteri dan lima anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di universiti.
"Tertuduh juga menunjukkan kekesalan yang mendalam dan mengakui kelemahannya. Mohon hukuman ringan dan munasabah terhadap tertuduh," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Beliau turut memohon mahkamah menggunakan prinsip kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.
Nor Azleen Khairina kemudian memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Pihak pendakwaan membantah penangguhan hukuman, namun mengambil kira tertuduh yang merupakan penjawat awam, mahkamah membenarkan penangguhan terbabit.
Wang jaminan terhadap tertuduh dinaikkan kepada RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport.
Sumber: Sinar Harian