Sekilas
- Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan dana SRC International RM42 juta.
- Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan Najib untuk melaksanakan Titah Adendum yang membolehkan tahanan rumah.
- Hakim memutuskan Titah Adendum tidak sah kerana isu tahanan rumah tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah. - BHarian