Taufan Ragasa yang kini berada di Laut China Selatan selepas melanda utara Filipina dikenal pasti sebagai salah satu taufan terkuat kategori 5 dengan kelajuan angin melebihi 250 kilometer sejam.
Menurut pakar klimatologi, Prof Dr Fredolin Tangang, kekuatan taufan itu dilaporkan sedang menurun namun berpotensi kembali meningkat apabila berada di Laut China Selatan yang ketika ini mencatat suhu permukaan tinggi.
Advertisement
Jelasnya, keadaan ini mungkin memberi kesan kepada Malaysia khususnya di Sabah.
"Jika taufan ini melalui di kawasan bahagian tengah Filipina, kita di Malaysia terutama di Sabah mungkin akan alami ekor taufan dan angin kencang. Kemungkinan juga akan menjana hujan orografi terutama di kawasan yang bergunung-ganang yang boleh menyebabkan hujan lebat. Namun masih terdapat kemungkinan angin tak terhala ke pedalaman Sabah yang berbukit," katanya ketika dihubungi Gempak.
Selain itu, beliau berkata kesan lain yang kini sedang dirasai Malaysia ialah cuaca panas dan atmosfera lebih kering berikutan kelembapan ditarik oleh sistem taufan.
“Secara umumnya apabila taufan lalu, ia akan menarik kelembapan dari kawasan kita. Bila kurang kelembapan, atmosfera stabil. Ini menyebabkan ketiadaan awan dan panas yang kita telah alami beberapa hari lepas. Ini kesan yang biasa kita lalui apabila taufan di bahagian timur laut China Selatan," jelasnya.
Mengulas mengenai perubahan musim, Prof Dr Fredolin berkata Malaysia juga berada dalam musim perantaraan monsun yang boleh menyebabkan hujan petang serta banjir kilat, khususnya di Pantai Barat Semenanjung.
"Ini jelas kelihatan apabila musim September-Oktober di Pantai Barat Semenanjung di mana hujan sebelah petang dan ribut petir berlaku dan ini menyebabkan banjir kilat. Kita sebenarnya masih di monsun perantaraan. Monsun ini ada angin yang lemah dan arah angin tak menentu. Jika ini berlaku, proses tempatan seperti bayu laut dan bayu darat mungkin meningkat dan menyebabkan hujan berlaku juga semasa musim ini.
“Saya rasa sesuai sangat kalau kita mengambil persediaan awal mengenai monsun timur laut yang akan kita hadapi di mana fenomena La Nina dijangka akan menjadi aktif dalam satu dua bulan lagi,” ujarnya lagi.
Prof Dr Fredolin turut menyarankan orang ramai agar sentiasa merujuk ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan cuaca ekstrem.