Diberi gelaran 'Bidadari Putih @ White Angel ', sebuah motosikal binaan khas berasaskan BMW R75/6 yang menjadi kebanggaan Budak Ipoh dan kerap diperkatakan bagi peminat jentera kustom di Malaysia pada baru-baru ini.

Selepas kejayaan Fire Ant merangkul dua anugerah di AOS 2017 menerusi kategeori Champion Invitation Build-Off dan Anugerah Pilihan Orang Ramai, Rusty Factory sekali lagi mencipta nama dalam mempamerkan kepakaran membina motosikal kustom.

Kali ini mereka sekali lagi muncul juara seperti tahun lalu dengan motosikal kustom White Angel dan berjaya merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 pada AOS 2918, baru-baru ini.

Ia sekali gus menjadi satu pencapaian yang memberangsangkan dari bengkel yang pernah dilabel 'bengkel kampung'.

Dengan enjin asal yang unik dan tampak lebar, Rusty Factory berjaya mengubah bentuk asal motosikal itu kepada satu jentera cukup unik dan berbeza sehingga memukau peminat motosikal kustom seluruh Malaysia.

Menariknya gaya pengendalian jentera ini tak ubah seperti kereta manual di mana ia menggunakan klac kaki dan gear tangan yang dibina khas, manakala pendikit menggunakan pendikit dalaman.

Biarpun sarat dengan aksesori dan komponen binaan khas, ciri-ciri BMW jelas terpancar pada enjin yang kelihatan terkeluar di sisi kiri dan kanannya.

Enjin asal bersesaran 750cc itu masih kekal asal kerana tiada komponen yang ditambah atau diusik di ruangan dalamannya.

Cuma, ia kelihatan menarik selepas menjalani proses menggilap perumah enjin dengan tangan dan bukan dicelup kemasan krom. Ia sudah pasti satu proses yang memakan masa lama dan tenaga, tetapi hasilnya cukup memukau.

Satu lagi keunikan yang jelas boleh dilihat adalah sistem brek cakera yang kebiasaannya ditempatkan di sisi roda belakang, tetapi ia diletak pada ruangan khas iaitu di bawah pelana.

Bagaimana ianya berfungsi, Drebar.my tidak dapat mengkajinya melainkan penciptanya sendiri iaitu saudara Alip dan Ejoy.

Menurut Alip, mereka menggunakan brek cakera daripada motosikal Yamaha dan turut mengambil masa lama untuk mengkaji serta menempatkan di ruangan khas itu.

Selain itu, lampu belakang jentera adalah satu seni yang cukup menarik untuk diperkatakan.

Pada asalnya, drebar menyangka lampu yang terselit pada kerangka belakang yang memegang roda adalah aksesori tambahan.

Namun selepas dikaji dan diterangkan, ia sebenarnya bertindak selaku lampu belakang jentera biarpun bersaiz kecil.

Rim hadapan pula menggunakan saiz lebih besar dengan dimensi 21 inci, manakala belakang masih mengekalkan komponen asal daripada BMW.

Jentera yang dibina khas untuk dipamerkan di AOS 2018 mengambil masa kira-kira 5 bulan untuk disiapkan dengan menelan kos RM32,000.

Rusty Factory sebenarnya amat berterima kasih kepada pemilik asal jentera itu iaitu Abang Omar, seorang ahli perniagaan yang memberi kepercayaan penuh dan tulang belakang kepada mereka dalam menghasilkan White Angel.

Ditanya mengenai perjalanan Rusty Factory, mereka kini memfokuskan bidang permotoran sebenar dan tidak hanya tertumpu pada dunia kustom semata-mata.