Jalan raya dikongsi pemandu kereta, penunggang motosikal, basikal serta pejalan kaki di bandar-bandar besar.

Risiko semakin meningkat saban tahun dengan tambahan kenderaan dan menyumbang kepada kadar kematian akibat kemalangan. Di Eropah, lebih 2,000 penunggang basikal maut akibat nahas jalan raya.

Satu daripada punca masalah di atas jalan raya ialah komunikasi, hanya hon dan suluhan lampu tinggi adalah cara berinteraksi atas jalan.

Menyedari permasalahan ini, Ford mencipta satu jaket prototaip untuk penunggang basikal yang berupaya memaparkan imej digital emoji sebagai teknik komunikasi antara pengguna jalan raya.

Emoji Jacket adalah namanya dan ia sebahagian daripada kempen jalan raya Ford 'Share the Road'. Pengayuh basikal boleh berinteraksi dengan menggunakan panel butang untuk mengaktifkan paparan emoji di bahagian belakang jaket mereka.

Apabila butang emoji pada panel butang ditekan, imej sama akan dipaparkan menerusi puluhan lampu LED belakang jaket. Pengguna jalan raya di belakang pengayuh basikal dapat melihat imej itu, siang atau malam.

Emoji digunakan untuk memaparkan mood, peringatan, signal membelok atau amaran berhubung masalah serta ancaman di atas jalan raya.

Panel butang ini dipasang pada bar hendal basikal. Pengayuh basikal cuma perlu tekan butang dan imej akan dipaparkan. Jika tiada butang ditekan, jaket itu kelihatan seperti baju keselamatan biasa.

Setakat ini, Ford belum menyatakan kesediaan mengeluarkan jaket itu dalam skala besar-besaran atau untuk jualan. Ia masih kekal sebagai prototaip.

Jika Ford merealisasikan jualan jaket emoji, ini boleh bantu selamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kematian akibat nahas membabitkan penunggang basikal.