Pengeluar jentera hypercar Croatia, Rimac ‘menghancurkan’ dua model C_Two untuk melakukan ujian pelanggaran demi keselamatan penggunanya.

Jika kenderaan sebenar, setiap satu Rimac C_Two itu berharga USD2.6 juta (RM10.8 juta), dengan 2 unit jentera itu ia mencecah USD5.2 juta (RM21.61 juta).


Namun itu, sebuah jentera prototaip dan mungkin kosnya lebih rendah berbanding sepatutnya. Ujian pelanggaran itu adalah satu program sebelum C_Two yang dijangka dipasarkan pada tahun hadapan.

Rimac memaklumkan, sebenarnya sebanyak 11 prototaip yang digunakan dalam proses ujian pelanggaran itu. Ia adalah bagi memastikan ciri keselamatan C_Two mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi memastikan ia boleh dijual di seluruh negara.


Sebagai sebahagian daripada proses, jentera prototaip itu melakukan ujian pelanggaran dengan penghalang ubah bentuk 40 peratus pada kelajuan 40 km/j. Selepas lulus, ia melakukan ujian kedua dengan kelajuan lebih laju iaitu 56 km/j.

Biarpun jurang kelajuan itu tidak banyak berbeza, tenaga kinetiknya sebenarnya berlipat ganda dan pelanggaran itu memberi impak kerosakan yang lebih teruk. Bagaimanapun, ujian pelanggaran itu adalah lulus, dan syarikat berkenaan memaklumkan risiko kecederaan kepada penumpang adalah sangat rendah.


Pada masa sama, tiada kerosakan pada monocoque gentian karbon atau impak pada pedal, sekali gus C_Two terbukti sangat selamat.

Hypercar yang dijana kuasa elektrik itu menggunakan empat motor yang menghasilkan output gabungan 1,888hp dengan tork setinggi 2,300Nm. Ia dikuasakan oleh pek bateri 120 kWh untuk membolehkan ia memecut 0-96km/j dalam 1.85 saat dengan kelajuan maksimum boleh mencecah 412km/j.