Bermula dengan pertandingan solekan ketika di bangku sekolah, Azmier Hisyamuqris kini berdiri sebagai jurusolek selebriti bertaraf antarabangsa.
Anak jati Lahad Datu berusia 32 tahun ini sudah menyentuh wajah nama-nama besar seperti penyanyi Indonesia Dewi Persik, Cakra Khan, Miss World 2022 Karolina Bielawska dan Miss International 2024 Huỳnh Thị Thanh Thủy.

Advertisement
Tahun ini pula, dia menggalas peranan penting bersama pasukan Miss Universe Malaysia 2025.
Jejaka berbangsa Dusun Idahan dan anak bongsu daripada empat adik-beradik ini mendedahkan segala impian itu bermula dengan mengikuti pertandingan solek di Lahad Datu ketika sekolah menengah.
“Pada awalnya kakak dan ibu saya sering menjadi kanvas. Sejak zaman sekolah saya kerap beli majalah hiburan, gaya hidup, dan fesyen. Dari situlah tercetusnya minat lebih mendalam dalam bidang solekan.
“Menerusi pengalaman ditimba, secara tidak langsung saya dapat ilmu dan sedikit sebanyak perbaiki kemahiran saya. Sokongan penuh keluarga juga antara pendorong penting saya sampai ke tahap ini,” katanya.
Azmier berkata banyak pencapaian bermaknanya jika mahu disenaraikan satu-satu. Setiap tawaran diberikan kepadanya dilaksanakan sepenuh hati kerana dalam kepalanya hanya inginkan hasil terbaik.
“Pencapaian besar dalam kerjaya saya adalah apabila diberi kepercayaan menata rias wajah Miss World 2022, Karolina Bielawska. Tidak ketinggalan, menyolek Miss International 2024, Huỳnh Thị Thanh Thủy.
“Alhamdulillah tahun ini juga saya menjadi tunjang penting pasukan Miss Universe Malaysia 2025 sebagai jurusolek. Sedikit sebanyak jadual saya semakin padat ketika dan selepas pertandingan itu,” katanya.
Apapun, perjalanannya masih jauh dan terlalu banyak lagi impian besar ingin dikejarnya. Antaranya adalah mempersiapkan Biduanita Negara, Datuk Seri Nurhaliza yang sangat disanjunginya.
“Paling terbaru saya diberi penghargaan oleh Siti Nurhaliza sebagai tenaga pengajar untuk bengkel kecantikan produk beliau. Alhamdulillah sepanjang bengkel, saya dapat banyak aura positif daripadanya.
“Salah satu impian besar belum tercapai juga semestinya menata rias wajah Siti. Saya membayangkan untuk beri sentuhan solekan ringkas buatnya untuk di jadikan potret,” katanya.
Azmier ada alasan kenapa memilih Siti Nurhaliza yang baginya menjadi idola dari setiap lapisan masyarakat. Dia sendiri mengidolakan beliau sejak dari bangku sekolah lagi.
“Saya bukan nak jadi penyanyi tapi saya jadikan beliau idola kerana mencerminkan kejayaan boleh saja diusahakan tanpa melihat latar belakang. Tidak kiralah lahir dari keluarga senang atau bukan,” katanya.
Berkelana ke kota metropolitan Kuala Lumpur juga antara pengorbanan besar Azmier kerana perlu berjauhan dan tinggalkan keluarga tercinta. Justeru, dia enggan sia-siakan hal itu.
Dari lubuk hatinya, kehadirannya dalam industri solekan arus perdana bukan untuk bersaing. Dia cuma kejar kepuasan diri, menghargai rakan jurusolek lain, dan raih bayaran setimpalnya.
“Memang tidak dinafikan ramai jurusolek serta penata rias tengah meningkat naik sekarang. Saya bersyukur industri solekan semakin besar dan saya yakin semua ada kepakaran dan keistimewaan masing-masing.
“Dari segi bayaran secara peribadi tipulah kalau saya kata tiada perkara mencabar sebagai jurusolek. Tapi individu ada hak masing-masing untuk menentukan harga atau ‘value’ ditetapkan. Sedikit usaha yang kita lakukan, besar impaknya kepada orang lain,” katanya.
Perjuangannya membina nama juga bertuntas dari hasrat mahu banggakan keluarga. Dia bersyukur sistem sokongan itu menjadi motivasi terbesar dalam memajukan diri sebagai jurusolek berkaliber.
“Keluarga di kampung adalah sumber kekuatan saya untuk terus maju dalam bidang seni. Terutama ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan dan menitip pesan untuk saya terus kuat dalam bidang seni.
“Perancangan ke hadapan masih panjang, sejauh mana pun karier ini dilalui, saya memahami akar yang kuat mengikat hati dan jati diri,” katanya.