Skip to main content

Antarabangsa

"Bahagian Paling Sukar Adalah Bangun Tidur" - Jeffrey Ngai Lalui Latihan Ketat 6 Bulan, Makan Sebelum 6 Petang Demi Road to Vendetta

jeffrey_vendeta

Sekilas

  • Jeffrey Ngai Tsun-sang menjalani latihan fizikal ketat selama enam bulan untuk wataknya dalam filem Road to Vendetta yang kini ditayangkan di Malaysia.
  • Pengalaman penggambaran di pelbagai lokasi unik dan proses latihan rapi membantu kelancaran produksi filem arahan Njo Kui Ying ini.
  • Road to Vendetta menerima lima pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-62, mengiktiraf mutu dan kualiti produksi filem tersebut.

Bintang kacak dari Hong Kong, Jeffrey Ngai Tsun-sang, 27, meluahkan keterujaannya menantikan sambutan penonton terhadap filem terbaharu lakonannya, Road to Vendetta, yang kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Menurut Jeffrey, demi memastikan wataknya tampil meyakinkan, dia menjalani latihan fizikal yang sangat ketat selama enam bulan tanpa sebarang kompromi.

“Setiap hari saya bangun awal untuk melakukan kardio selama satu hingga dua jam, menamatkan semua hidangan sebelum jam 6 petang, selain menjalani latihan kekuatan pada waktu malam.

“Disiplin diri ibarat melawan diri sendiri setiap hari. Bahagian paling sukar adalah untuk bangun tidur.

“Motivasi saya hanya satu, ‘Jika hari ini saya berjaya bangun dari katil, saya sudah menang,’” katanya.

Jeffrey turut mencatat kenangan istimewa apabila buat pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia sempena acara promosi filem itu di TGV Pavilion Bukit Jalil, termasuk sesi bertemu peminat dan sidang media.

Mengulas peluang membintangi Road to Vendetta, Jeffrey mengakui industri perfileman Hong Kong yang semakin kecil menjadikan setiap tawaran lakonan satu rezeki besar buat pelakon.

“Di Hong Kong, untuk mendapat peluang berlakon dalam filem pun sudah cukup membahagiakan kerana industri menghasilkan jumlah filem yang terhad setiap tahun.

“Kali ini, saya berpeluang membawakan watak yang lebih serius dan tenang,” ujarnya.

Jeffrey juga memuji kelancaran proses penggambaran yang disifatkannya hasil persediaan rapi pasukan produksi, khususnya melibatkan babak aksi.

“Pengarah dan pengarah aksi sudah merakam awal semua babak pertarungan utama dan tunjukkan kepada kami supaya kami faham pergerakan kamera.

“Sepanjang enam hingga lapan bulan latihan, kami sudah biasa dengan pergerakan itu, jadi penggambaran sebenar menjadi lebih mudah,” katanya.

Tambah Jeffrey, setiap lokasi penggambaran menawarkan pengalaman berbeza yang tidak dapat dilupakan.

“Setiap lokasi memberi peluang aksi yang berbeza. Banyak tempat yang saya lawati buat pertama kali.

“Contohnya, kami menjalani penggambaran di pusat permainan dan juga di sebuah kuil Jepun. Ia pengalaman baharu sepenuhnya untuk saya,” katanya.

Ditanya mengenai impian masa hadapan, Jeffrey menyatakan hasrat untuk digandingkan bersama bintang Hollywood, Dwayne ‘The Rock’ Johnson, yang disifatkannya sebagai pelakon yang sangat dikagumi.

Sebelum mencipta nama dalam dunia lakonan, Jeffrey terlebih dahulu mencuri perhatian sebagai penyanyi menerusi lagu-lagu bertenaga seperti Never Say Never dan MY HEAD!, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam arena Cantopop Hong Kong.

Selain muzik, beliau turut membuktikan kebolehan lakonan menerusi beberapa siri popular terbitan ViuTV Hong Kong termasuk Be a Better Man, Be On Game dan In Geek We Trust. Di layar perak, Jeffrey sebelum ini sering diberikan watak pembantu, termasuk dua peranan komedi dalam filem Everything Under Control (2023) dan Table for Six 2 (2024).

Kerjayanya melonjak apabila diberi kepercayaan memegang watak utama dalam filem arahan Njo Kui Ying, Road to Vendetta, sebagai pembunuh upahan Hong Kong berwajah dingin yang dikenali sebagai ‘Number 4’.

Filem Road to Vendetta turut menerima lima pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-62 merangkumi kategori Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik, sekali gus mengiktiraf mutu pembikinan dan kualiti produksinya.

Must-Watch Video

Advertisement