Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, mendedahkan sudah membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang menyertai misi Global Sumud Flotilla yang berlayar menuju Gaza.
Antara prosedur penting yang dipikul adalah memastikan rakaman langsung kecemasan atau SOS dilakukan sebagai bukti keadaan sebenar di atas kapal sekiranya diserang rejim Zionis Israel.
Advertisement
“Jika telefon dibuang ke laut, itu bermaksud saya sudah ditangkap,” kata Ardell, atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, ketika membuat siaran langsung di TikTok.
Semua sukarelawan dimaklumkan mengenai langkah keselamatan, termasuk keperluan merakam keadaan kapal untuk membuktikan ia hanya membawa misi bantuan tanpa sebarang senjata.
Setiap barangan tajam seperti pisau dan garfu akan dikumpulkan lalu dibuang ke laut, manakala rakaman langsung diteruskan sehingga arahan untuk melepaskan telefon diberikan oleh ketua misi.
“Saya akan jadi orang terakhir membuang telefon, supaya dunia masih sempat melihat siapa yang menindas siapa,” jelas Ardell.
Apabila telefon dibuang ke laut, itu menandakan semua sukarelawan sudah ditawan dan hubungan dengan dunia luar terputus.
“Selepas itu, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Jangan fikir saya tak kuat, sebab kita lihat setiap hari saudara kita syahid. Kalau mereka boleh, kami pun kena tabah,” tambahnya.
Walaupun menyedari risiko besar, Ardell menegaskan pasukan flotilla tidak akan goyah untuk menembusi sekatan Israel. Misi ini adalah simbol solidariti buat rakyat Palestin yang sekian lama hidup dalam kepungan.
“Apa pun berlaku, akan ada barisan kedua, ketiga dan seterusnya yang akan cuba lagi. Insya-Allah, pemberani lain akan muncul,” katanya.
Ardell turut merayu orang ramai supaya terus menyokong usaha flotilla dengan doa dan kesedaran berterusan terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Jangan risaukan kami, kami ada Allah SWT. Cuma jangan berhenti berdoa, kerana itulah kekuatan sebenar kami,” ujarnya penuh harapan.
Misi Global Sumud Flotilla kali ini menghimpunkan aktivis dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, dengan tujuan menghantar bantuan terus kepada rakyat Palestin yang terkepung di Semenanjung Gaza.