Skip to main content

Selebriti

Kelantan Perkasa Kraf Warisan, Kota Bharu Dicalonkan Ke World Crafts Council

Kelantan Perkasa Kraf Warisan, Kota Bharu Dicalonkan Ke World Crafts Council

Malaysian Craft Council (MCC) telah menganjurkan
Majlis Menandatangani Plak Pencalonan Kota Bharu sebagai ‘World Craft City’ di bawah World
Crafts Council (WCC).

Bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu, majlis ini merupakan langkah rasmi bagi mengemukakan pencalonan Kota Bharu ke peringkat antarabangsa, dan bukannya pengiktirafan muktamad lagi.

Advertisement

Proses penilaian akan dibuat oleh pihak World Crafts Council sebelum sebarang pengesahan status rasmi diberikan.

Majlis gilang gemilang ini turut menerima keberangkatan tiba DYMM Sultanah Kelantan,
Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, serta dihadiri YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, dan Encik
Sundeep Kumar, Naib Presiden World Crafts Council (Rantau Asia Pasifik) dari India.

Meraikan Keunikan Kraf Warisan Kelantan
Acara ini diadakan bagi meraikan keunikan seni kraf tradisional negeri Kelantan, khususnya
hasil seni tekstil bernilai tinggi seperti Kelingkan dan Songket.

Dua tokoh tersohor, Puan Nik Marhamah Nik Megat (Adiguru Sulaman Kelingkan) dan Puan Che Rohani Che Mood (Adiguru Tenunan Songket) mempersembahkan demonstrasi eksklusif kepada tetamu bagi menunjukkan proses penghasilan tekstil warisan ini.

Menurut wakil Malaysian Craft Council, pencalonan  Kota Bharu sebagai ‘World Craft City’ dilihat sebagai satu pencapaian penting dan bersejarah, kerana ia membuka peluang untuk seni kraf tempatan diiktiraf di pentas dunia.

“Walaupun pengiktirafan rasmi masih dalam proses penilaian oleh pihak World Crafts Council,
pencalonan ini sahaja sudah menjadi bukti kekayaan warisan seni kraf negeri Kelantan dan sokongan padu komuniti kraf di sini,” ujarnya.

Sekiranya berjaya, pencalonan ini dijangka:

1.Mengangkat martabat penggiat seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.

2.Memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.

3.Memperkukuh usaha menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan beridentitikan warisan dan budaya.

Must-Watch Video

Advertisement