Sekilas
- Pengarah dan CEO MONSTA, Nizam Abd Razak, berkongsi bahawa dunia fiksyen Kolumpo dalam Papa Zola The Movie diinspirasikan daripada Kuala Lumpur dengan fokus utama pada Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur.
- Pasukan produksi MONSTA turun padang untuk meneliti setiap perincian stesen keretapi bersejarah itu bagi memastikan ketulenan visual dalam filem tersebut, yang digunakan sebagai babak pembukaan.
- Papa Zola The Movie menerima sambutan positif dengan kutipan RM25.6 juta dalam 11 hari dan menduduki tempat pertama carta Top 10 GSC, mengatasi francais antarabangsa besar.
Pengarah filem animasi Papa Zola The Movie yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA iaitu Nizam Abd Razak berkongsi beberap trivia menarik di sebalik pembinaan dunia fiksyen Kolumpo yang dijadikan sebagai latar tempat bagi filem tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, Nizam memaklumkan bahawa Kolumpo diinspirasikan daripada Kuala Lumpur bertujuan untuk mengangkat ibu kota tersebut dengan menjadikan Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur sebagai fokus utama.
“Jika Mechamato berlatarkan Kota Hilir, sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan daripada Banda Hilir, maka untuk Papa Zola The Movie, kami mengangkat Kolumpo, sebuah ibu kota fiksyen Kuala Lumpur.
“Latar bandar Kolumpo ini dibina dengan satu fokus utama iaitu Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur, salah satu landmark paling ikonik dan bersejarah,” kongsinya.
Lebih menarik, Nizam berkongsi bahawa pihak produksi turun padang ke stesen keretapi tersebut bagi meneliti setiap sudut bangunan termasuk lengkungan gerbang, menara berkubah dan perincian fasad.
Hasilnya, lakaran bangunan tersebut digunakan sebagai babak pembukaan bagi filem keluaran MONSTA dan Astro Shaw itu.
“Untuk memastikan ketulenan visual, team MONSTA sendiri turun ke lokasi dan meneliti setiap sudut stesen ini.
“Dari lengkungan gerbangnya, menara berkubah, hinggalah ke perincian kecil pada fasad bangunan; semuanya mempunyai aura tersendiri.
“Lebih mengagumkan, bangunan berusia lebih 100 tahun ini masih beroperasi sehingga hari ini. Set Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur ini digunakan sebagai opening scene dalam Papa Zola The Movie.,” ujarnya.
Di akhir perkongsian, Nizam memaklumkan bahawa pihak MONSTA akan sentiasa berusaha untuk mengangkat warisan negara dan dalam masa sama berharap inisiatif ini dapat membuka mata penonton mengenai keindahan Malaysia.
“Sejujurnya, kami sendiri rasa tidak puas untuk meneroka sepenuhnya dunia Kolumpo dan suasana bandar lama ini. Walaupun set yang dibina agak besar, masa di skrin untuk keseluruhan set ini tidak sampai 30 minit.
“Di MONSTA, kami sentiasa mencari peluang untuk mengangkat lokasi ikonik dan warisan tempatan. Diharap Papa Zola The Movie akan dapat membuka mata penonton luar untuk mengenali keindahan, sejarah dan identiti Malaysia yang tercinta,” katanya.
Terbaharu, Papa Zola The Movie menunjukkan penerimaan positif daripada penonton apabila berjaya mengutip RM25.6 juga untuk 11 hari tayangan.
Bukan itu sahaja, Papa Zola The Movie turut berada di kedudukan nombor satu carta Top 10 GSC, sekali gus menyaksikan filem tempatan mengetepikan francais besar antarabangsa seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2 dan Five Nights At Freddy's 2.