Pelakon Haryanvi, Uttar Kumar, ditahan pada Isnin lalu berhubung kes dakwaan merogol seorang penyanyi berusia 25 tahun.
Namun, sejurus selepas penahanan, Kumar mengadu tidak sihat dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta, menurut kenyataan polis kepada Times of India (TOI).
Advertisement
Ketua Polis Daerah (DCP) Trans-Hindan, Nimish Patil, memberitahu media bahawa Kumar akan dibawa semula ke dalam tahanan selepas disahkan sihat oleh doktor.
Menurut pihak berkuasa, wanita berkenaan membuat laporan pada 18 Julai, mendakwa Kumar telah melakukan serangan seksual terhadapnya antara 1 Januari 2020 hingga 31 Julai 2023 dengan janji palsu untuk berkahwin dan memberinya peranan utama dalam filem.
Mangsa pernah cuba membunuh diri dengan membakar diri di luar kediaman Ketua Menteri Uttar Pradesh di Lucknow pada 6 September, selepas mendakwa pihak polis gagal mengambil tindakan terhadap laporannya.
Menurut wanita itu, dia telah membuat aduan pada 24 Jun, tetapi tiada tindakan diambil. Selepas itu, dia membawa kes tersebut ke mahkamah yang mengarahkan supaya laporan polis (FIR) didaftarkan. Mangsa mendakwa polis kemudian mengubah kenyataan saksi untuk memihak kepada Kumar.
Dalam kenyataannya kepada TOI, mangsa berkata dia bertemu Kumar pada Ogos 2020 melalui sebuah projek muzik. Kumar menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam projek akan datang dan menukar nombor telefon dengannya.
Kumar turut memujinya dengan mengatakan bahawa suatu hari nanti dia boleh menjadi bintang besar.
Tidak lama selepas itu, Kumar menjemputnya ke pejabatnya di Ghaziabad dan juga ladang miliknya di Amroha dengan alasan untuk berbincang soal kerja.
Gangguan seksual pertama didakwa berlaku antara Ogos hingga September 2020.
“Dia mula berkata, ‘kenapa pakai dupatta macam ini, awak tahu tak, tiada siapa boleh jadi heroin dengan dupatta’. Bila saya membantah, dia kata, ‘kenapa takut, kita dalam industri yang sama dan perlu bekerjasama. Saya akan jadikan awak bintang besar’,” katanya kepada TOI.
Menurut laporan polis (FIR), Kumar didakwa menjemput mangsa ke pejabatnya di Ghaziabad dan ladang di Amroha, di mana dia memaksa mangsa minum arak.
Apabila mangsa enggan, Kumar berkata jika tidak minum dia tidak akan dapat bergaul dengan orang besar dalam industri.
Mangsa turut mendakwa dipanggil ke ladang Kumar pada Oktober 2020 untuk sesi 'bacaan skrip dan uji bakat peribadi'.
“Setibanya di sana, dia menawarkan saya minuman keras yang saya tolak. Tapi dia cuba memujuk dengan mengatakan, ‘ini sebahagian daripada babak. Kalau awak tak minum, macam mana nak bergaul dengan orang besar industri? Tiada siapa akan bagi awak peranan kalau awak enggan. Minum sikit saja, tak salah pun’,” katanya.
Mangsa mendakwa Kumar kemudian menyentuhnya secara tidak senonoh dan memaksa hubungan fizikal.
Dia juga mendakwa corak itu berterusan lebih tiga tahun, dari Ogos 2020 hingga November 2023, di mana Kumar berulang kali memaksanya melakukan hubungan seksual selepas menyuruh pengurusnya meninggalkan bilik.
Kumar didakwa menjanjikan perkahwinan serta peranan besar dalam filem termasuk watak utama dalam Adla Ka Badla, tetapi gagal menunaikan janji tersebut.
Mangsa berkata apabila popularitinya mula meningkat dan menerima tawaran daripada penerbit lain, Kumar mendesaknya untuk hanya bekerja dengannya. Apabila dia cuba melawan pada Jun–Julai 2023 di hadapan kakaknya, Kumar didakwa mengugut untuk memfitnah, menyenaraihitamkannya serta menyebarkan video peribadi mereka.
FIR yang didaftarkan mengenakan pertuduhan di bawah kesalahan rogol, ugutan jenayah, serta seksyen berkaitan di bawah Akta SC/ST (Pencegahan Atrocity).
Mangsa juga mendakwa Kumar membuat kenyataan berunsur kasta, mengugut untuk menyekat kerjayanya dalam industri filem Haryanvi, serta menyebarkan gambar dan video peribadinya di media sosial.
Patil menambah, polis sedang menyemak semula dakwaan tersebut dan Kumar akan ditahan semula selepas disahkan sihat secara perubatan.
Dalam perkembangan lain, anak lelaki Uttar Kumar mendakwa bapanya diberi bahan beracun ketika dalam tahanan polis, namun dakwaan itu dinafikan oleh Ketua Polis Daerah Indirapuram, DCP Abhishek Srivastava, sebagai tidak berasas.
Sumber: Times of India