‘Berdoalah, minta pada Allah’ ini antara bait-bait ayat yang tidak asing dan lazim kita dengar. Lebih-lebih lagi apabila diuji dengan musibah, masalah dan kesulitan. Dan jalan keluar yang mudah kita fikirkan adalah dengan berdoa. Namun tahukah anda mengapa kita disuruh untuk berdoa sedangkan segala yang berlaku dalam kehidupan kita sudahpun tertulis di loh Mahfudz dan tercatat dalam qada’ dan qadar kita?

Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman dalam Surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud, Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Kredit Foto: Google

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang dalam menghadapi musibah. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut: “Doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman. Dan menurut perkongsian Hasmah Solan menerusi facebooknya, dititipkan cara dan formula dalam berdoa.


TUKAR CARA BERDOA

Insya-Allah siapa yang betul-betul amalkan, ‘The Power of’ Doa ini, boleh mengubah hidup kita menjadi yang lebih baik. Biiznillah.


Kredit Foto: Google


FORMULA 1
Sebelum ini kita selalu berdoa, " Ya Allah berikanlah aku kekuatan." Jika kita berdoa begitu, maka Allah akan sentiasa uji untuk lihat sejauh mana kekuatan kita. Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
" Ya Allah lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi ini, Ya Allah keluarkan aku dari kesulitan ini, Ya Allah bantulah aku'.


FORMULA 2
Selain daripada itu, kita sebelum ini mungkin selalu berdoa, "Ya Allah berilah aku...". Jadi, selepas ini kita tukar sikit doa iaitu, " Ya Allah kurniakanlah aku..."
Kerana apa? Jika kita sebut beri maka bila-bila masa Allah boleh ambil balik. Namun, jika sebut kurnia, maka Allah akan kurniakan kita sesuatu sampai bila-bila Insya-Allah.


Kredit Foto: Google

FORMULA 3
Satu lagi, selalu saya dengar dan nampak orang doa begini, "semoga dimurahkan rezeki". Selepas ini, latihkan baca doa begini,
" semoga dilimpahkan rezeki yang berpanjangan dan berkat."
Nampakkan dua perbezaan doa itu? Doa kena betul, sebab setiap doa kita Allah dengar dan yakin Allah makbulkan doa kita. Jadi dengan doa ini saya nampak betapa pentingnya untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian.


FORMULA 4
Selain itu, selalu kan kita berdoa seperti ini, contonya, “Ya Allah, kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah.” Dan setiap kali itu jugalah kita akan berasa kecewa, stress bila doa tidak dimakbulkan ALLAH.

Kalau selama ni kita hanya minta pada Allah sekadar nikmat sahaja. Kita tak benar-benar ikhlas meminta padaNya supaya diberikan nikmat yang lebih bernilai. Maka hari ini, ayuh kita tukar cara berdoa seperti ini, contohnya,

' Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan aku dengan diriMu maka makbulkan ya Allah… Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau lebih memandangku Ya Allah, maka kurniakanlah.

Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ibadahku lebih bertambah dan solatku lebih khusyuk maka izinkanlah nikmat ini Engkau pinjamkan padaku ya Allah.
Kerana Engkau sahajalah sebaik-baik perancang dan Engkaulah Rabb Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu yang terbatas bagiku. ' Amin Ya Mujib.

Sebabnya, bilamana kita berdoa seperti di atas ini, matlamat dan objektif dalam doa itu bukan terfokus pada nikmat semata, tapi lebih ikhlas kerana hubungan kita pada Allah yang memberikan nikmat itu.


FORMULA 5
Selalu juga, bila kita berdoa kita minta macam-macam pada Allah. Hingga kita lupa nak bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah beri. Kita lupa nak bersyukur dengan rezeki yang sudah ada di hadapan kita.

Jadinya, bersyukur dulu atas apa yang Allah dah beri, maka Allah akan tambahkan lagi. Sebagai contoh,
' Ya Allah, aku bersyukur umurku masih panjang lagi pada hari ini, maka Engkau jadikanlah hariku sebagai ibadah kepada Mu. Dan redhalah kepadaku Ya Allah.'


Kredit Foto: Google

FORMULA 6
Satu lagi cara berdoa adalah dengan mendoakan orang lain. Kerana bila mendoakan orang lain, seluruh malaikat di arasy akan turut mengaminkan doa kita.

Satu contoh,
' Ya Allah, sahabatku ini dalam kesulitan dan kesempitan ya Allah.. bantulah dia Ya Allah, lapangkan kesulitannya, permudahkan perjalanan hidupnya Ya Allah..' Moga Allah makbulkan setiap permintaan kita. Aamiin Ya Rabbal 'Alamiin.

Kredit : Tanyalah Ustaz
Kredit Foto: Facebook Hasmah Solan