Dilantik sebagai duta KK Supermart, Shuib kini terus positif mahu mencorak hala tuju dan lebih fokus dalam bidang perniagaan. Mula menjalin kerjasama sekitar dua tahun lalu dengan memasarkan produk madunya di bawah seliaan KK Supermart, dia tidak menyangka diberi peluang ini. Menyifatkannya sebagai peluang berharga disamping menimba ilmu bersama mereka yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, Shuib tidak berselindung malah berkongsi cerita pernah rugi, ditipu dan sebagainya. Dan semua itu dianggap lumrah dalam adat berniaga. Bersama InTrend Shuib kongsikan amalan dan tipsnya meraih kejayaan yang dirasai kini.


Kredit Foto: IG Shuibsepahtu

Tips menjadi usahawan berjaya?
Saya sebenarnya tak pandai sangat berbisnes. Cuma saya redah saja dan sepanjang tujuh tahun menceburi bidang perniagaan, empat tahun pertama saya belajar menerusi pengalaman. Saya pernah rugi dan kecewa tetapi tiga tahun selepas itu saya cuba bangkit. Saya anggap segala kekecewaan dan kerugian sepanjang tempoh itu sebagai pelaburan untuk saya mengecap kejayaan. Tetapi pada saya, ia berbalik kepada diri kita sendiri. Macam mana kita nak cari jalan yang betul dan berjumpa dengan orang yang betul.


Kredit Foto: IG Shuibsepahtu


Apa yang terpaksa Shuib lalui sepanjang empat tahun itu, apa yang mencabar atau mungkin sudah buatkan Shuib putus asa untuk teruskan?
Pertama isu team. Saya tak jumpa dengan orang yang betul-betul boleh bantu support saya yang boleh menjadi untuk bawa bisnes saya ke hadapan. Sepanjang empat tahun ini saya jumpa macam-macam kerenah, pelbagai ragam orang, bisnes, pembohongan. Dan itu semua memberi 1001 pengalaman berguna. Saya berpegang kepada ini. Kejayaan yang dikecapi tanpa melalui pengorbanan, pahit getir, susah payah dan sebagainya maka tiada maknalah kejayaan itu.


Kredit Foto: IG Shuibsepahtu


Apa amalan Shuib sentiasa dimurahkan rezeki?
Saya takut kalau orang cakap saya riak dan sebenarnya saya bukanlah arif dalam soal agama. Tetapi apa yang saya amalkan selama dua tahun ini memang terbukti. Dan ya, semuanya berlaku dengan keizinan Allah. Setiap pagi sebelum memulakan hari, saya amalkan membaca Surah Al Waqiah. Saya pernah dengar orang bercakap, sesiapa yang mendengar surah Al Waqiah setiap pagi dan malam insya-Allah dia takkan dihimpit, didekati oleh kepapaan dan akan selalu dimurahkan rezeki. Walaupun surah ini tak menyatakan secara khusus tentang harta, kekayaan kerana sebenarnya ia menceritakan mengenai hari Akhirat. Tetapi itulah makrifat ayat suci Al-Quran. Barangsiapa yang beramal dengannya dan kerana-Nya nescaya Allah akan bantu.

Seperti apa yang saya nyatakan sebelum ini. Saya tak pandai sangat berbisnes tetapi macam mana saya boleh berada disini? Sebab mungkin Allah bantu dengan menghantarkan saya berjumpa dengan orang yang baik dan bagus di sekeliling saya dan Allah tunjukkan jalan yang betul. Mungkin saya sudah ada kekuatan tersendiri tetapi apabila bergabung dan berpadu dengan kekuatan orang lain yang bagus, maka kejayaan itu lebih cepat diraih dan terus maju ke hadapan. Selebihnya, saya akui masih banyak yang saya perlu belajar daripada mereka yang berada di sekeliling saya untuk mantapkan lagi ilmu pengetahuan dalam perniagaan.


Kredit Foto: IG Shuibsepahtu

Seperkara lagi saya percaya kalau kita mudahkan kerja orang, Insya-Allah kerja kita akan dipermudahkan Allah. Seterusnya adalah melazimi amalan bersedekah. Banyakkan sedekah.

Kadang-kadang tanpa kita sedar, kita terlalu nakkan sesuatu kejayaan hingga kita lupakan Dia. Kita terlupa untuk kembali kepada perkara asas yang penting. Sebabnya semua berlaku atas izin Allah. Dia yang memiliki segalanya. Contohnya, kunci kejayaan itu bukan ada pada kita, tetapi pada Allah. Allah yang beri dan buka ruang. Jumpa jalan ini, kemudian masuk. Tapi dipertengahan jalan kita terperangkap. Kita buat macam-macam tapi tak menjadi. Sebab apa? Kita tiada kunci, nak masuk pintu itu tapi tak boleh. Kita tahu kejayaan disebalik pintu tapi hakikatnya kunci itu tetap pada-Nya. Dan saat kita dibukakan pintu, barulah kita nampak kejayaannya.

Kredit Foto: IG Shuibsepahtu

Mungkin sebelum ini saya lupa kerana terlalu ikutkan kalau mahu berbisnes begini dan begitu kaedah dan caranya. Tetapi kalau perkara asas pun tak dijaga memang takkan menjadi. Jadi, jaga hubungan dengan Allah dan dalam masa sama, berdampinglah dengan orang yang betul yang mampu bantu ajarkan kita.