Suka atau tidak, kita harus akui media sosial adalam platform yang paling kerap kita layani hari ini untuk berhubungan sesama manusia berbanding secara realiti atau berdepan. Ia bukan salah teknologi tetapi inilah satu kemudahan yang dicipta untuk membantu manusia bersosial bagi jarak jauh atau terpisah lama atau tidak punya waktu untuk bertemu.


Tidak salah. Yang salah apabila kita terlalu ekstrem sehingga saat berdepan pun kita masih mahu berhubungan di media sosial sehingga mengabaikan orang yang sedang dekat dengan kita.





Kredit Foto: Google




Untuk kali ini, bukan hal itu yang ingin penulis bangkitkan. Tetapi, bagaimana melihat manusia hari ini yang semakin hadap pujian dan komen-komen manis sedangkan saat ditegur dia melenting dan tidak dapat menerimanya.


Apabila semakin ramai manusia yang hanya mahu mendengar kata-kata pujian, kita bimbang generasi akan datang kurang rasa mahu membaiki diri kerana dilemahkan dengan hanya kata-kata indah yang realitinya tidak seindah mana.


Sedangkan kita tahu hanya komen-komen membina dan teguran positif mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik dan membangunkan sesuatu kesilapan kepada keinsafan. Kalau hanya dipuji siang dan malam, seseorang itu akan terus khayal dan tidak mampu bangun untuk hari esok yang lebih baik.





Kredit Foto: Google




Suka Dipuji Itu Penyakit Hati

Memang wujud manusia yang seakan-akan ketagih dengan pujian. Apatah lagi pada zaman media sosial ini, yang semua menantikan komen-komen bersifat memuji dan mengangat seseorang itu.


Sehinggakan, apabila tidak ada lagi modal tentang kejayaannya, dia akan mencipta suatu post kontra (bermain dengan psikologi). Dalam satu situasi yang benar, dia mencipta kapsyen berlawanan.


Sebagai contoh, dia sudah kurus tetapi di dalam kapsyen dia mengatakan dia sudah gemuk. Harapannya supaya orang memujinya kurus! Contoh lain, dia selfie cantik tetapi dalam kapsyen mengatakan dirinya buruk. Dia mengharapkan orang memujinya cantik dan menidakkan anggapannya itu.


Ada pula yang menayangkan aset seperti rumah yang tersergam indah tetapi dengan kapsyen, “rumah selerak, malas nak kemas”, “pondok buruk saya..” dan bla bla bla. Tentunya dia berharap orang memberi komen sebaliknya. Memuji dan terus berasa kagum dengan apa yang dimilikinya.


Inilah yang dinamakan penyakit hati. Apabila pujian itu kerap menjadi makanan jiwanya, ia seakan-akan menjadi ketagihan sehingga tidak mampu lagi menerima teguran atau nasihat walaupun diungkapkan secara personal.


Allah SWT tidak suka kepada manusia yang suka apabila dirinya dipuji. ''Janganlah sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang sangat suka dengan apa yang telah mereka lakukan dan suka dipuji atas sesuatu yang tidak mereka kerjakan --janganlah sekali-kali engkau menyangka-- mereka akan selamat dari seksa. Bagi mereka adalah seksa yang pedih.'' (QS Ali-Imran (3): 188).






Kredit Foto: Google




5 Tanda Kamu Ketagih Pujian:
  1. Apabila kamu berasa cemburu dengan kejayaan orang lain. Kamu berharapkan kejayaan itu adalah milik kamu supaya orang menyanjung kamu.
  1. Kamu sentiasa membandingkan dirimu dengan orang lain. Kamu tidak boleh melihat orang lain lebih daripada kamu dan kamu akan berusaha untuk menyainginya agar kamu dilihat lebih berjaya.
  1. Sentiasa melakukan sesuatu itu untuk kepuasan orang lain bukan diri sendiri. Kamu cuba untuk membuatkan orang yang kamu sasarkan itu berasa kagum dengan apa yang boleh kamu lakukan.
  1. Kamu tidak mampu berasa gembira dengan apa yang kamu lakukan sehinggalah ada orang yang memuji dan memberikan ‘approval’ bahawa apa yang kamu telah lakukan itu sesuatu yang hebat!
  1. Sikap suka bersaing yang esktrem. Sebenarnya sikap ini bagus untuk menjadikan diri lebih maju tetapi jika dipunyai dengan terlalu menebal dan kepada perkara-perkara kecil pun seperti tidak boleh lihat followers orang lain lebih tinggi, aduh ia boleh menjadi barah dalam diri.




Kredit Foto: Google





Peranan Sebagai Rakan Media Sosial

Mengambil berat atau menyukai seseorang itu tidak semestinya ditunjukkan dengan meninggalkan komen-komen bersifat pujian sekerap-kerapnya. Lagi pula tidak semua pujian itu bersifat ikhlas dan ‘real’.


Tidak salah untuk memuji teman kita sebagai tanda sokongan moral dan berkongsi gembira tetapi jangan sampai berlebihan sehingga teman itu menjadi jauh dari landasan sebenar. Jangan rosakkan kawan kita sendiri hanya kerana mahu menjaga hati.


Jadilah teman media sosial yang bijak. Antara memuji sebagai sokongan moral dan nasihat ke arah kebaikan agar teman itu dapat membaiki diri menjadi lebih baik dan tidak terus leka. Jangan diiyakan benda yang salah dan jangan ditidakkan perkara yang betul.


Namun, jangan pula kita ada hasad dengki terhadap kejayaan dan kegembiraan kawan kita sehingga kita langsung tidak suka dengan apa yang dimilikinya. Sekadar ‘like’ pun sudah pasti menggembirakannya.


Komenlah secara bijak dan ‘membina’. Contohnya, daripada menulis; “Cantiknya awak macam bidadari”. Digubah sedikit kepada, “Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah. Saya doakan kebaikan untuk awak.” Lebih indah, kan? Orang lain baca pun tidak menjuih bibir.


Apa pun yang kita lakukan, bersangka baiklah. Bersangka baik dengannya, bersangka baik dengan Allah dan kita sendiri harus bersangka baik dengan setiap komen kita. Barulah hidup harmoni dan media sosial kita tidak dicemari.




Kredit Foto: Google



Ibnu Ajibah berkata:

“Janganlah engkau tertipu dengan pujian orang lain yang menghampirimu. Sesungguhnya mereka yang memuji tidaklah mengetahui dirimu sendiri kecuali yang nampak saja bagi mereka. Sedangkan engkau sendiri yang mengetahui isi hatimu. Ada ulama yang mengatakan, “Barangsiapa yang begitu gembira dengan pujian manusia, syaithon pun akan merasuk dalam hatinya.”