Sedikit renungan kisah pada zaman Rasulullah tentang emas:

Anak Rasulullah saw, Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah bahawa beliau teringin untuk berhias seperti wanita-wanita lain. Lalu Rasulullah membawa Fatimah ke satu perigi (sumur) dan menimba (menyendok) ke dalam perigi tersebut. Setelah diangkat naik timba tersebut maka kelihatanlah barang-barang perhiasan emas di dalam timba tersebut.


Kata Rasulullah, "Ambillah Fatimah." Oleh kerana terlalu teringinkannya, Fatimah pun mengambil emas itu tetapi cuma satu sahaja. Diambilnya itu pun dalam keadaan malu. Rasulullah kemudian bertanya kepadanya? "Cukupkah Fatimah?" Jawab Fatimah, "Cukup Ya Rasulullah.”


Kemudian Rasulullah menyambung, "Tapi ketahuilah wahai Fatimah, dengan kamu mengambil satu itu, sudah mengurangkan kebahagiaan kamu di akhirat kelak.” Mendengarkannya, Fatimah segera memulangkan kembali emas tersebut. Beliau tidak sanggup menukarkan kebahagiaan akhirat dengan dunia yang sedikit.



​Kredit Foto: Google

Dan Kita Terus Bermegah Dengan Nikmat Dunia

Bagaimana dengan kita jika diberi peluang untuk mengambil emas tersebut? Pasti rambang mata dan sifat tamak mula menguasai diri, bukan? Ya, begitu nipis dan lemahnya iman kita dek hasutan duniawi ini. Kita sanggup menggadaikan nikmat di akhirat demi kepuasan sementara di dunia ini.

Bercakap soal emas, tidak dinafikan setiap wanita pasti mempunyai keinginan untuk berhias dengan aksesori mewah itu. Ia adalah naluri biasa seorang wanita yang dikurniakan Tuhan. Tidak menjadi kesalahan untuk kita memiliki emas, tetapi ketahuilah silap dan dosanya apabila ia dipakai secara berlebihan sehingga mengundang keborosan dan akhrinya timbul sifat riak, tamak dan angkuh.



​Kredit Foto: Google




Manisnya Wanita Dulu Berhias Emas

Tengoklah nenek moyang kita dulu. Penggayaan emas mereka begitu minimalis dengan ukiran dan bentuk yang tidak keterlaluan. Direka dengan rupa yang molek dan terletak manis pada diri si pemakai. Orang dulu kalau ada anak perempuan, mesti dikalungkan seurat dua emas mengikut kemampuan.

Bagi mereka, seorang wanita yang tidak berhias emas akan nampak kosong. Maka, emas dijadikan aset penyeri diri. Namun, mereka tidak akan menayang secara berlebihan. Cukuplah seutas rantai halus berloket comel, seurat gelang di lengan dan sebentuk dua cincin di jari.



​Kredit Foto: Google

Wanita Sekarang Beremas Untuk Menunjuk-Nunjuk

Rekaan barang kemas yang semakin dimodenkan hari ini ada kala menyakitkan mata. Ada yang diukir tidak lagi dengan kesenian halus. ‘Berdentum’ dan sudah tidak moleh kebanyakan rekaan barang kemas hari ini. Mungkin kemampuan yang lebih buat wanita zaman kini untuk membeli menjadikan mereka semakin rakus.

Mereka yang memakai barang kemas yang berbentuk begitu dempak dan mega menjadikan mereka tidak lagi kelihatan manis. Sebaliknya, terselit gambaran sombong, angkuh dan bangga diri kala menggayakan barang kemas itu di depan khalayak. Hilanglah kelembutan bagi seorang wanita Melayu yang dikenali sebagai pemalu dan merendah diri.



Kredit Foto: Google




Awas, Jangan Mengundang Peragut dan Perompak


Tulisan dan kritikan ini bukan didalangi rasa dengki atau iri hati melihat sebilangan orang yang mampu menggayakan barang kemas berselirat di tubuh. Namun, ini adalah pesanan sesama kita yang mungkin terleka dek keseronokan di depan mata. Tidak semua yang kita mampu beli, mesti kita beli dan miliki.


Ada kala, rezeki itu Tuhan berikan untuk melihat bagaimana kita labur dan salurkan ke jalan yang lebih baik. Sekali lagi, penulis tegaskan memiliki emas tidak menjadi kesalahan. Cuma, dibimbangi ia membawa kita kepada dosa menjadi tamak, kedekut kepada fakir dan lebih buruk lagi mendorong perasaan kita untuk bermegah dan riak.


Kita manusia yang lemah untuk menolak semua godaan itu. Jadi, sebelum ia melarat sebaiknya kita elakkan. Tiada emas, tiadalah dorongan kepada perasaan yang dibenci Tuhan itu. Bagaimana untuk kita mengawal perasaaan itu sedangkan ia datang tanpa diduga. Apatah lagi, jika ada yang memuji kala melihat kita menyarungkannya. Syaitan mula bersorak.


Seperkara lagi, memakai barang kemas yang keterlaluan boleh mengundang bahaya. Kita tidak tahu siapa orang di sekeliling kita yang memerhati gerak-geri kita ini? Ada penyamun atau peragut yang tunggu masa sesuai saja untuk merentap barang kemas yang kita pakai itu. Apa akan jadi jika kita diragut? Rugi dapat, sakit pun dapat.


Islam sendiri menganjurkan kepada umatnya supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil langkah pencegahan sebelum ditimpa mudarat. Adalah wajib untuk kita memelihara dan menjaga harta benda sendiri dan tidak membuka peluang kepada pencuri untuk merompaknya.












Sungguh manis mereka kelihatan dengan percikan emas yang sekadar cuma. Dilihat antara nampak dan tidak sahaja kelip-kelip emas itu. Di situlah diperlihatkan mahal dan eksklusifnya barang kemas itu. Makin tersorok, makin mahu ditenung.